Ahad, 26 Jun 2022 | 4:47pm
Mohd Amirullah bersama dua adiknya Qistina Amalia, 13, dan Qasdina Afiqah, 8, (tengah) akan dijaga keluarga bapa dan ibunya. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Mohd Amirullah bersama dua adiknya Qistina Amalia, 13, dan Qasdina Afiqah, 8, (tengah) akan dijaga keluarga bapa dan ibunya. - Foto NSTP/Rosli Ilham

3 beradik yatim piatu tak tahu ibu mengandung

CHUKAI: "Saya sangat terkejut selepas doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengandung adik saya yang ketiga," kata Mohd Amirullah Mohd Abdika.

Ibunya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, dan bapanya, Mohd Abdika Razali, 36, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, petang semalam.

Mohd Amirullah, 16, berkata doktor memaklumkan ibunya mengandung tiga bulan selepas membuat bedah siasat ke atas mayatnya malam tadi.

"Sebelum ini, ibu ada memaklumkan dia mengandung dan saya bersama dua adik sangkakan dia bergurau. Dia selalu bergurau begitu dengan kami. Sebab itu selepas dimaklumkan doktor saya bertambah sedih," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Binjal Kemaman, hari ini.

Tiga beradik Mohd Amirullah, 16 dan adiknya Qistina Amalia, 13, dan Qasdina Afiqah, 8 jadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas di Dungun, semalam. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Tiga beradik Mohd Amirullah, 16 dan adiknya Qistina Amalia, 13, dan Qasdina Afiqah, 8 jadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam nahas di Dungun, semalam. - Foto NSTP/Rosli Ilham

Anak sulong tiga beradik itu berkata, mereka adik beradik sempat bercuti bersama kedua ibu bapanya di Gunung Jerai, Kedah pada Ahad lalu.

"Mulanya kami dibawa ayah dan ibu keluar makan di Bandar Kuala Terengganu, tiba-tiba ibu dan ayah mengajak kami ke Kedah dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Percutian itu sungguh menyeronokkan dan tak sangka ia adalah kenangan terakhir kami adik beradik bercuti bersama ibu dan ayah," katanya.

Jenazah kedua-dua ibu bapanya itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai kira-kira jam 3 pagi tadi.

Ibu kepada Rabiatuladawiah, Rahani Ismail, 61, berkata arwah anaknya itu tidak memaklumkan dia mengandung.

"Saya tak diberitahu arwah anak dan kali terakhir dia bawa saya berkelah di Pantai Teluk Kalong Sabtu lalu dan dia tidak ceritakan perkara itu.

"Saya akan memikul amanah untuk menjaga tiga cucu saya ini dan kami sekeluarga dan keluarga belah menantu telah berpakat dan akan menjaga cucu-cucu kami itu sebaik mungkin," katanya.

Biarpun Mohd Amirullah memaklumkan dia dan adik-adiknya itu akan tinggal dengan keluarga sebelah bapanya kerana rumah mereka berdekatan, Rahani berkata dia tetap akan bersama-sama menjaga cucunya itu.

"Saya masih terkejut dan sedih dengan kehilangan anak dan menantu namun saya pasrah dan reda dengan takdir," katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang semalam, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia RSV4 merempuh sebuah kereta jenis Toyota Innova yang dipandu lelaki warganegara China yang secara tiba-tiba keluar dari sebuah simpang di situ.

Berita Harian X