Ahad, 26 Jun 2022 | 1:50pm
Khairy (dua kiri) menyerahkan insentif kepada penerima Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), hari ini. NSTP/ Ahmad Hasbi.
Khairy (dua kiri) menyerahkan insentif kepada penerima Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), hari ini. NSTP/ Ahmad Hasbi.

'Kesedaran ujian saringan kesihatan masih rendah'

REMBAU: Malu anggota badan disentuh dan kecenderungan mendapatkan rawatan hanya ketika sakit dikenal pasti antara punca kesedaran untuk membuat saringan kesihatan masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ramai yang enggan melakukan ujian saringan terutama membabitkan kanser prostat dan payudara kerana pemeriksaan berkenaan memerlukan sentuhan di bahagian anggota badan tertentu.

"Saya dimaklumkan pemeriksaan berkenaan memerlukan kebenaran (sentuhan) daripada mereka yang melakukan saringan. Disebabkan mungkin faktor tidak biasa, budaya dan sebagainya menyebabkan mereka enggan memberikan kebenaran.

"Mungkin perkara ini perlu diberi lebih tumpuan sedikit supaya dapat mengatasi sensitiviti masyarakat terutama dalam kalangan mereka yang agak berusia sedangkan kita tahu kanser prostat dan payudara antara kanser yang agak tinggi di Malaysia.

"Kita boleh fikirkan cara bagaimana untuk yakinkan mereka supaya dapat memberikan kebenaran melaksanakan saringan itu," katanya selepas Program Outreach Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), di sini, hari ini.

Khairy berkata, berdasarkan pemerhatian Kementerian Kesihatan (KKM), terdapat kecenderungan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk hadir ke klinik apabila sakit saja atau dikenali sebagai sick care.

"Cara pemikiran sebegini perlu diubah supaya kesihatan kita berada pada tahap optimum dan sistem kesihatan dalam negara tidak terlalu terbeban," katanya.

Khairy berkata, secara keseluruhannya, terdapat 5,950,291 rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat di bawah program PeKa B40 dan daripada jumlah itu hanya 620,000 individu sudah disaring sejak 2019.

"Di Negeri Sembilan khususnya, sejak mula dilancarkan pada April 2019 hingga 20 Jun lalu, seramai 245,601 orang layak mendapatkan saringan kesihatan percuma di bawah program ini, tetapi hanya 14.6 peratus atau 35,893 orang yang membuat saringan kesihatan.

"Ini menjadi faktor utama mengapa kita mengadakan program pada hari ini (semalam), selaras dengan sasaran ProtectHealth untuk menyaring seramai 8,094 rakyat Negeri Sembilan di bawah PeKa B40 pada tahun ini.

"Di Rembau pula, sehingga 20 Jun lalu, seramai 1,509 individu menerima sekurang-kurangnya manfaat pertama PeKa B40 iaitu pemeriksaan kesihatan percuma.

"Manakala 6,124 penerima manfaat yang layak di Rembau masih belum mengambil peluang untuk membuat saringan kesihatan percuma di bawah PeKa B40 ini," katanya.

Justeru, Khairy menggesa mereka yang layak menerima manfaat daripada program PeKa B40 untuk pergi ke klinik berdekatan yang berdaftar dengan ProtectHealth untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma.

"Klinik yang berdaftar dengan ProtectHealth ini boleh dikenal pasti melalui pelekat PeKa B40 di pintu masuk klinik yang berkenaan," katanya.

Berita Harian X