Khamis, 23 Jun 2022 | 6:13pm

Perkasa sektor perikanan laut dalam

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkasa sektor perikanan laut dalam bagi meningkatkan sumber bekalan makanan negara.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata bagi tujuan itu pihaknya melakukan aktiviti turun padang bagi melihat cadangan dan cabaran pemain industri.

Katanya, setakat ini negara tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan ikan laut dalam, sebaliknya bekalan banyak atau berkurang disebabkan keadaan cuaca.

"Kadang kala ikan boleh didapati murah dalam keadaan tertentu, tetapi kita lihat kos operasi yang meningkat seperti kos bahan api, buruh dan baik pulih menyebabkan harga ikan jadi mahal.

"Jadi kita akan dengar masalah dan cadangan mereka (pemain industri) serta ambil tindakan yang bersesuaian bagi menggubal dasar lebih kondusif," katanya selepas lawatan ke kilang ikan Gelombang Utama Sdn Bhd di Tok Bali, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamaruddin Md Noor.

Antara cadangan lain yang turut diminta pemain industri adalah permintaan mendaratkan ikan di jeti swasta dan mempercepat pembaharuan lesen.

"Setiap syarat yang diletakkan pasti ada sebabnya, namun perkara yang menghalang perkembangan industri kita akan lihat dan cari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Beliau berkata, selain itu pihaknya juga akan mengkaji semula pemberian diesel kepada penguasa bot dalam jenis C2 yang sebelum ini menerima subsidi diesel sejak 2016 sebelum ditamatkan pada 2019.

"Kita juga melihat kepada tarif elektrik ditanggung sektor dan faktor lain bagi memastikan bekalan harga makanan ini diimbangi," katanya.

 Ronald Kiandee (tengah) meninjau proses ikan di Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/ Nor Amalina Alias
Ronald Kiandee (tengah) meninjau proses ikan di Tok Bali, Pasir Puteh. NSTP/ Nor Amalina Alias
Berita Harian X