X
Rabu, 22 Jun 2022 | 5:36pm
Nur Asyikin Aminuddin.
Nur Asyikin Aminuddin.

FOMCA syor perluas subsidi bersasar kepada M40

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperluaskan pemberian subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) dengan penggunaan kad khusus untuk pembelian barang keperluan asas.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin, berkata ini kerana golongan M40 juga terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang mendadak kebelakangan ini.

"Golongan M40 boleh dibantu dengan memberikan kad khusus untuk membeli barang keperluan asas terpilih sahaja pada harga berpatutan di pasar raya dan kedai runcit yang terbabit dengan program pemberian subsidi bersasar ini.

"Ini kerana M40 turut terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Lebih menyedihkan, golongan ini sering dilupakan untuk mendapatkan bantuan yang boleh meringankan beban kewangan mereka," katanya kepada BH.

Pada masa sama, Nur Asyikin berkata, FOMCA menyambut baik pemberian subsidi bersasar supaya peruntukan bagi tujuan itu dapat ditambah terus kepada golongan sasaran dari golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Beliau juga mencadangkan golongan B40 diberikan kad khusus untuk mendapatkan barang keperluan asas secara percuma di pasar raya atau kedai runcit yang mengambil bahagian dalam program pemberian subsidi bersasar.

"Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan ketua kampung atau persatuan penduduk untuk mengadakan program jualan murah barang makanan di lokasi petempatan golongan berpendapatan rendah.

"Bagaimanapun, perlu dipastikan hanya yang layak dibenarkan membeli untuk kegunaan sendiri dan keluarga, bukan untuk peniaga membeli barang bagi menjana keuntungan. Wakil rakyat juga perlu main peranan dengan mengambil tahu taraf hidup penduduk di kawasan mereka," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan skim subsidi bersasar akan dilaksanakan bagi menggantikan pemberian subsidi pada masa ini yang menyeluruh dan memberi manfaat semua orang, termasuk golongan kaya.

Berita Harian X