Rabu, 22 Jun 2022 | 3:22pm

Lebih 10,000 pelajar sekolah, IPT serbu Minggu TVET Negara 2022

SHAH ALAM: Minggu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, menjadi tumpuan lebih 10,000 pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sejak hari pertama penganjurannya Isnin lalu.

Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata ini membuktikan golongan pelajar hari ini semakin terbuka, malah melihat TVET sebagai peluang kerjaya berkemahiran tinggi yang lebih menjamin masa depan.

"Sambutan pelajar sekolah dan penuntut IPT dalam program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini juga sekali gus menghapuskan stigma sesetengah pihak yang sebelum ini beranggapan bidang TVET adalah bidang kelas kedua dan pilihan terakhir pelajar.

"Hari ini kesedaran terhadap kepentingan dan potensi yang ada dalam bidang TVET semakin terserlah, malah menyaksikan TVET antara laluan pengajian yang menjadi pilihan.

"Berdasarkan rekod PSA sendiri, kadar kebolehpasaran graduan penuntut PSA pada tahun lalu sebanyak 97.8 peratus berbanding 95.9 peratus pada 2020," katanya ketika ditemui pada hari ketiga Minggu TVET Negara 2022 di PSA di sini, hari ini.

Mohd Zahari berkata, menurut Laporan Audit Negara 2021, politeknik dan kolej komuniti Malaysia adalah penyumbang utama enrolmen TVET negara.

"Pelajar politeknik dan kolej komuniti adalah penyumbang utama enrolmen TVET negara iaitu sebanyak 102,365 pelajar iaitu 40.03 peratus manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperoleh enrolmen sebanyak 60,971 orang iaitu 23.84 peratus.

"Mengikut laporan ringkas status pekerjaan graduan pada tahun 2020, politeknik dan kolej komuniti mencatatkan kebolehpasaran graduan tertinggi dibandingkan dengan universiti awam di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengisian program sepanjang Minggu TVET Negara 2022 itu memberi peluang bukan sahaja kepada pelajar sekolah, penuntut IPT, malah orang ramai untuk menerokai sendiri alam TVET sebenar.

"Program ini akan berakhir pada 24 Jun nanti, jadi kami mengalu-alukan kedatangan semua pihak ke PSA untuk sepanjang program berlangsung," katanya.

Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam, Dr Mohd Zahari Ismail (tengah) bersama pelajar yang hadir menunjukkan pameran robotik pada Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam, Dr Mohd Zahari Ismail (tengah) bersama pelajar yang hadir menunjukkan pameran robotik pada Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X