Selasa, 21 Jun 2022 | 6:25pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Syor Skim Pembiayaan Rent-to-Own diperluas

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Penyewa Kediaman Kebangsaan (NHRA) mahu kerajaan memperluaskan Skim Pembiayaan Rent-to-Own yang kini hanya membabitkan perumahan PR1MA kepada bakal pembeli perumahan Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

Pengerusi NHRA, K Prakash, berkata perluasan skim itu dapat membantu bakal pembeli yang kurang berkemampuan untuk menyewa dahulu rumah idaman mereka sehingga berupaya mendapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga berharap kerajaan melakukan sekatan atau moratorium jualan semula dan sewaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun supaya pembeli tidak menjual atau menyewakan rumah kepada mana-mana pihak.

"Kelulusan bagi memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Rumah juga perlu diberikan kepada pembeli rumah pertama dan orang kurang kemampuan untuk membeli rumah mengikut harga pasaran.

"Ini selaras dengan hasrat kerajaan ingin membantu golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dengan pemberian subsidi pengurangan harga penjualan rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

NHRA menyambut baik kelulusan pembinaan 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dan memuji usaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang prihatin terhadap rakyat yang belum berkeupayaan membeli rumah dengan memperkenalkan program berkonsepkan sewa dikenali sebagai 'Council Home'.

Program yang menyasarkan pembinaan 5,000 unit bermula tahun ini sehingga 2027 ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menyewa terlebih dahulu di samping membina keupayaan kewangan bagi membeli rumah idaman pada masa hadapan.

Projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang diluluskan melibatkan sebanyak 104 projek di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berharga RM300,000 seunit.

Dalam pada itu Prakash berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat penguatkuasaan berkala bagi mengelakkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) disewakan kepada orang lain terutamanya warga asing.

Beliau berkata berkata hasil pemerhatian NHRA mendapati kebanyakan pemilik rumah PPR yang mendapat bantuan subsidi kerajaan untuk memiliki rumah di bawah program itu mengambil kesempatan untuk menyewakan kepada warga asing (rent to rent).

"Sebenarnya kerajaan mewujudkan konsep Rumah PPR untuk membantu golongan miskin memiliki rumah dan bukannya untuk dikomersilkan atau disewakan kepada orang lain.

"NHRA berharap agar isu ini ditangani dengan penguatkuasaan syarat, peraturan dan undang-undang yang jelas bagi menghalang penyewaan serta penjualan rumah PPR dengan adanya Akta Sewaan Kediaman yang sedang digubal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.

Berita Harian X