Selasa, 21 Jun 2022 | 5:55pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malaysia tingkat daya tahan hadapi impak perubahan iklim

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa tindakan bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang menyebabkan fenomena banjir besar susulan iklim berkelembapan tinggi, selain turut disumbang oleh faktor bentuk muka bumi.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) ketiga yang dipengerusikannya secara dalam talian, hari ini.

Katanya, antara tindakan akan dilaksanakan ialah membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan bagi sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

"Selain itu, menggalakkan kerajaan negeri mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.

"Mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara besar turut dibincangkan dalam mesyuarat MyCAC dengan inisiatif itu dijangka dapat menjadi pemangkin ekosistem EV di negara ini.

Beliau berkata, inisiatif itu antara lain dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) secara berkesan dan berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan.

"Mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.

"Ia memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.

"Ketika ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara, selaras aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih, seawalnya pada 2050," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, komitmen dan usaha kerajaan menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) Ke-27.

Persidangan tahunan yang akan berlangsung di Sharm El-Sheikh, Mesir itu bertujuan membincangkan isu global perubahan iklim, pada 6 hingga 18 November depan.

"

Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri Besar, Ketua Menteri serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Selaras aspirasi 'Keluarga Malaysia Lestari', Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang," katanya.

Berita Harian X