Isnin, 20 Jun 2022 | 6:22pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bahasa Melayu milik siapa?

PADA 22 sehingga 24 Mei lalu, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu diadakan. Ramai tokoh Bahasa Melayu dari dalam dan luar negara bertembung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mencadangkan bagaimana mengangkat Bahasa Melayu itu sebagai bahasa penting serantau dan antarabangsa.

Ini bagi membantu Perdana Menteri yang telah mencadangkan bahawa Bahasa Melayu digunakan dengan meluas dalam urusan seharian di dalam negara dan di luar.

Namun, apa yang berlangsung selama tiga hari simposium ialah ramai sarjana hanya sekadar mengulangi apa sudah diketahui umum, iaitu Bahasa Melayu sudah lama dipertuturkan di mana-mana sahaja sejak berabad lalu, iaitu sejak Zaman Kerajaan Melayu Melaka.

Peserta juga diberitahu semula bahawa diaspora Melayu telah membawa Bahasa Melayu dituturkan oleh orang Melayu yang telah berhijrah ke banyak tempat di dunia seperti ke Afrika Selatan, Amerika, Eropah, Timur Tengah dan ke Selatan seperti Christmas Island dan Australia.

Namun, diaspora tidak mengantarabangsakan Bahasa Melayu kerana orang yang bercakap Bahasa Melayu tetap orang Melayu yang berpindah ke luar negara. Pada hemat saya, pengantarabangsaan suatu bahasa itu berjaya atau berlaku bila bahasa itu dituturkan oleh bukan pentutur asal atau asli.

Bahasa Melayu, Bahasa Malaya dan Malaysia

Bahasa Melayu sudah mendapat tempat yang penting sejak penubuhan Persekutuan Malaya pada 1948 lagi dan Persekutuan Malaysia pada 1963. Justeru keraguan dan ketidakpastian yang bangkit dalam nada dan pembentangan pakar dan tokoh Bahasa Melayu dalam simposium Mei 2022 tidak wajar.

Bahkan ianya menunjukkan kekurangan kematangan perbahasan oleh para ilmuwan kerana perbahasan seolah olah menidakkan bahasa itu milik bersama orang Malaya sehingga 1963 dan milik bersama orang Malaysia mulai 1963.

Hal sedemikian agak mengecewakan kerana pemikiran mengenai Bahasa Melayu harus ke depan dan membangun mengikut peredaran masa, perkembangan sejarah dan kemunculan naratif moden pasca Malaya dan pasca Malaysia.

Bahasa Melayu sudah lama diterima oleh orang Cina dan India melalui kontrak sosial yang berkaitan penubuhan Persekutuan Malaya pada 1948. Hal sama juga diterima pakai apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan oleh tiga wilayah, iaitu Malaya, Sabah dan Sarawak (termasuk Singapura sehingga 1965) pada 1963.

Kepentingan peranan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan antara etnik dalam Malaysia yang berbilang suku amat penting. Bahasa ini juga berperanan memupuk proses membina negara-bangsa Malaysia ke arah bersatu padu dalam apa juga istilah.

Penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan pada 1948 wajar dilihat sebagai proses dan langkah memperakukan bahawa Bahasa Melayu adalah satu-satunya alat untuk menyatupadukan pelbagai etnik dalam negara yang rencam dengan pelbagai etnik yang ada budaya, bahasa, agama, fahaman dan cara hidup masing-masing. Ini tidak perlu diungkit kembali.

Pada 1974, demi perpaduan dan proses membina negara bangsa Malaysia, Sabah dan Sarawak bersetuju menerima sepenuhnya peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di kedua-dua wilayah.

Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, Sabah dan Sarawak diberi kelonggaran menggunakan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar di sekolah bagi tempoh 10 tahun pertama selepas penubuhan Malaysia. Selepas tempoh itu, Perjanjian Malaysia memperuntukkan bahawa Sabah dan Sarawak akan mengkaji semula peruntukan ini, iaitu sama ada akan meneruskan penggunaan Bahasa Inggeris atau beralih ke Bahasa Melayu.

Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakob, berusaha untuk mendapatkan persetujuan Sabah dan Sarawak untuk menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Pengantar di seluruh sekolah di Sabah dan Sarawak. Walaupun demikian, Bahasa Inggeris turut boleh digunakan. Ini adalah kejayaan luar biasa dan sekaligus mengangkat seorang etnik Melanau dari Sarawak sebagai pejuang Bahasa Melayu yang tidak didendangkan.

Sebagai alat perpaduan, Bahasa Melayu adalah bahasa semua rakyat Malaysia. Justeru, ia juga merupakan milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mereka itu Cina, India, Kadazandusun atau Dayak, termasuk Melayu.

Oleh yang demikian, ada keperluan untuk mengamal dan mempraktiskan keterangkuman dalam memperjuangkan Bahasa Melayu melalui penglibatan semua dan bukan sahaja terhad kepada orang Melayu sahaja.

Keterangkuman ini penting supaya semua merasakan bahawa mereka adalah pemegang taruh dalam Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dan bahasa semua rakyat Malaysia.

Dalam konteks kini, pejuang Bahasa Melayu bukan terhad kepada orang Melayu tetapi perlu melibatkan sama Cina, India, Kadazandusun dan Dayak. Orang Melayu perlu lebih terbuka bahawa pejuang Bahasa Melayu tidak semestinya Orang Melayu sahaja.

Sejauh manakah rakyat Malaysia tahu bahawa seorang pejuang Bahasa Melayu yang tidak didendangkan adalah dari etnik Melanau Sarawak? Apakah salah beliau diangkat dan diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Kalau DBP dikenal sebagai satu agensi penting memperjuangkan Bahasa Melalayu sebagai Bahasa Kebangsaan, apakah DBP terangkum dan terdiri daripada ramai etnik Malaysia yang merupakan pemegang taruh dalam hal ini?

Perubahan minda dan kerangka perlu ada. Keterangkuman yang disarankan dalam konteks Keluarga Malaysia perlu kepada praktis dan bukan tinggal falsafah sahaja.

Selagi tidak ada anjakan paradigma yang dimonopoli oleh satu etnik kepada perkongsian oleh pelbagai etnik, tiada apa akan dapat tercapai dalam konteks dan kerangka Keluarga Malaysia. Cina, India, Kadazandusun dan Dayak termasuk etnik lain perlu diberi rasa pemilikan (ownership), barulah semua akan merasakan bahawa mereka ada kepentingan berkaitan Bahasa Kebangsaan mereka.

Penulis adalah Sarjana Sains Politik dan Penyandang Inaugural Kursi Tan Sri Empiang Jabu, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X