Sabtu, 18 Jun 2022 | 4:48pm
 Mohamad ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tawau, hari ini. NSTP/ Abdul Rahemang Taiming
Mohamad ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tawau, hari ini. NSTP/ Abdul Rahemang Taiming

Pelajar gagal SPM boleh ikuti kursus kemahiran

TAWAU: Pelajar yang gagal atau kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, disaran melanjutkan pelajaran atau mengikuti kursus kemahiran.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata peluang untuk pelajar menyambung pengajian terutama dalam bidang kemahiran dan vokasional masih terbuka luas.

Beliau berkata, pelbagai institusi dan agensi pendidikan lain menawarkan peluang kepada golongan itu supaya tidak terus tercicir selepas gagal memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

"Banyak lagi peluang di luar sana, tidak bermakna gagal SPM peluang melanjutkan pelajaran sudah berakhir. Walaupun mereka tidak hebat dari segi akademik, tetapi mungkin mereka hebat dari segi kemahiran.

"Usaha berterusan dan bersepadu sudah dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM) malah merentasi kementerian dan membabitkan agensi seperti Giat Mara, Program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya yang menawarkan kursus bersesuaian," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Tawau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nasib 75,455 calon yang tidak layak mendapat sijil termasuk yang tidak menduduki peperiksaan atau gagal dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Nur Zamani Abdol Hamid pada sidang media sempena pengumuman keputusan SPM 2021 baru-baru ini berkata, sejumlah 24,941 atau 6.2 peratus calon SPM tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan.

Selain itu, seramai 1,655 calon atau 0.43 peratus gagal dalam semua mata pelajaran, manakala seramai 45,514 atau 11.91 peratus calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sehingga mengakibatkan mereka dikategorikan sebagai cicir SPM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dasar Pendidikan Negara bukan hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata, tetapi juga untuk melahirkan modal insan dalam kalangan pelajar yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang serta mampu berinovasi, berkreativiti dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.

"Justeru, kita cukup yakin dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang diguna pakai pada hari ini walaupun kali pertama diperkenalkan dalam peperiksaan SPM pada tahun lalu, namun calon yang layak untuk pensijilan juga agak tinggi iaitu 88.08 peratus untuk seluruh negara.

"Selain itu, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar juga semakin mengecil dengan pelajar sudah mampu mengadaptasikan sukatan pelajaran dan pendekatan diambil KPM menerusi KSSM, seterusnya membolehkan mereka memperoleh keputusan cemerlang," katanya.

Berita Harian X