Ahad, 12 Jun 2022 | 10:28pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (lima kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron (empat kanan) dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat kiri) bergambar bersama pemenang Anugerah Reruai Terbaik PBAKL ke-39 pada majlis penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (lima kanan) diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron (empat kanan) dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (empat kiri) bergambar bersama pemenang Anugerah Reruai Terbaik PBAKL ke-39 pada majlis penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - NSTP/ASWADI ALIAS.

PBAKL terima lebih 1.3 juta pengunjung

KUALA LUMPUR: Jumlah kehadiran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 Ke-39 melepasi sasaran penganjur, apabila lebih 1.3 juta pengunjung direkodkan sepanjang 10 hari ia berlangsung.

Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata sejumlah 1,363,757 pengunjung direkodkan menghadiri PBAKL sejak 3 Jun lalu sehingga jam 4 petang hari ini.

Jumlah itu jauh melepasi sasaran awal penganjur yang sebelum ini menjangkakan kehadiran sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung dalam tempoh berkenaan.

Selain itu, katanya, pesta buku terbesar di Malaysia itu turut mendapat sambutan hangat di media sosial apabila tanda pagar #pbakl2022 di TikTok merekodkan lebih 13.6 juta tontonan setakat jam 6 petang tadi.

"Semua angka ini langsung tidak dijangkakan dan jauh melepasi sasaran awal pihak penganjur.

"Kebiasaannya, PBAKL dianjurkan ketika minggu persekolahan. Selepas dua kali ditangguhkan, PBAKL 2022 memilih tarikh 3 hingga 12 Jun, iaitu ketika cuti persekolahan yang terbukti berjaya membawa pembeli berkualiti.

"Rata-rata pempamer menyatakan jualan PBAKL kali ke-39 adalah yang terbaik sejak penganjurannya," katanya dalam ucapan ketika Majlis Penutup PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Mohd Khair yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022 berkata, acara itu turut menyaksikan peranan usahawan buku dalam kalangan penggerak industri muda yang membawa segmen pembeli baharu.

Katanya, rata-rata usahawan baharu itu memiliki ratusan, ribuan dan jutaan pengikut dan tontonan di media sosial, sekali gus mencetus keterujaan terhadap buku dalam kalangan masyarakat.

"Pemain industri perbukuan sedia ada juga kekal tekad dan tidak mudah kalah. Mereka ada pasukan pemasaran media sosial yang menyediakan kandungan terkini dan memberi perspektif segar kepada judul sedia ada.

"Dua sisi positif ini membuktikan pemain industri buku Malaysia berani meminimumkan kesan negatif pandemik, menyahut cabaran dan tidak mudah mengaku kalah kepada faktor luar kawalan mereka," katanya.

Berita Harian X