Ahad, 12 Jun 2022 | 12:34pm

Reezal minta kerajaan negeri senaraikan projek mahu dibawa ke Bertam

KEPALA BATAS: Kerajaan Pulau Pinang diminta menyenaraikan jenis projek ingin dibangunkan di Bertam, di sini, supaya tidak mengelirukan penduduk yang khuatir dengan ura-ura pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di kawasan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pada sesi pendengaran yang diadakan kerajaan negeri baru-baru ini, kebanyakan penduduk meluahkan rasa kurang senang dan tidak puas hati kerana mendakwa tidak dihidangkan maklumat yang betul.

"Saya kekal dengan pendirian tidak dapat menerima pembinaan ini (CLQ) kerana ia tidak sesuai di kawasan petempatan, kediaman lama dan kampung tradisi," katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas pada Program Santai Anak Muda dan Majlis Perasmian 'e-Sports Youth Cabin' di sini, malam tadi.

Selaku Ahli Parlimen kawasan itu, Reezal Merican menegaskan, jika kerajaan negeri merancangkan membangunkan kawasan kilang atau industri di Bertam, beliau hanya bersetuju jika ia industri berteraskan teknologi tinggi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk tenaga mahir.

"Di sini, ada Institut Latihan Perindustrian (ILP). Alangkah indahnya jika keluaran ILP dapat menjadikan tempat ini untuk cari pekerjaan. Kita tidak mahu kebanjiran tenaga kurang mahir di sini, maka sebab itu saya sendiri akan melihat dan teliti (cadangan kerajaan negeri) apa industri yang nak datang sini," katanya.

Katanya, pemaju yang ingin membangunkan apa jua projek perlu membuat Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) terlebih dahulu bagi memastikan sama ada pelaksanaannya memberi kemudaratan dari segi kesan sosial atau sebaliknya.

"Dalam SIA ini, ia akan jadi penentu dan akan dilihat oleh pihak terbabit iaitu kerajaan negeri, Jabatan Perancang Bandar dan Desa. Mereka akan membuat penilaian yang pada akhirnya matlamat untuk melakukan sesuatu itu perlu benar-benar difahami dan dipersetujui rakyat," katanya.

Sebelum ini, Reezal Merican mahu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pemaju membuat sesi libat urus dengan penduduk untuk mendapatkan jalan penyelesaian bagi cadangan pembinaan CLQ kerana penduduk khuatir ia akan mendorong kebanjiran warga asing ke kawasan terbabit.

Penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam turut mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari kerana bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.

Difahamkan, projek dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang itu mempunyai dua pakej, iaitu membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat, keseluruhannya 977 unit.

Rabu lalu, kerajaan negeri memaklumkan akan mengambil kira semua pandangan dan pendapat daripada penduduk berhubung cadangan pembinaan CLQ berkenaan.

Laporan BH Online 29 Mei lalu mengenai tindakan penduduk 11 taman perumahan sekitar Bertam terhadap cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ).
Laporan BH Online 29 Mei lalu mengenai tindakan penduduk 11 taman perumahan sekitar Bertam terhadap cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ).
Berita Harian X