Sabtu, 11 Jun 2022 | 7:23pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - Foto BERNAMA

Idris enggan panjangkan isu Bon Odori

HULU LANGAT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, tidak mahu memanjangkan isu perdebatan berkaitan penganjuran Festival Bon Odori yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai depan.

Ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Dewan, Pecah Tanah dan Anugerah Huffaz 2022 di Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi Masa di sini hari ini, beliau memilih untuk tidak memberi reaksi mengenai isu itu.

"Saya tak mahu (komen). Saya tak mahu lagi panjangkan (isu ini)," katanya ringkas ketika ditanya mengenai perdebatan umum mengenai penganjuran Bon Odori di media sosial sehingga menarik reaksi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan.

Orang ramai daripada pelbagai lapisan budaya dan negara mengikuti tarian sambil berpakaian Kimono Yakuta ketika menghadiri Festival Bon Odori ke-42 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Julai 2018. - NSTP/Muhammad Sulaiman
Orang ramai daripada pelbagai lapisan budaya dan negara mengikuti tarian sambil berpakaian Kimono Yakuta ketika menghadiri Festival Bon Odori ke-42 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Julai 2018. - NSTP/Muhammad Sulaiman

Menyentuh soal haji, Idris berkata setakat ini semua pengurusan dan perjalanan jemaah Malaysia yang sudah tiba di sana dan bakal ke Tanah Suci dalam masa terdekat berjalan lancar.

"Soal haji, Alhamdulillah semuanya. Mereka sudah sampai dan saya lihat segalanya teratur dan minggu depan (Yang di-Pertuan) Agong akan lepaskan jemaah juga," katanya.

Mengenai peruntukan kepada maahad tahfiz di seluruh negara seperti diumumkan dalam Belanjawan 2022 sebelum ini, beliau berkata, sejumlah RM23 juta sudah dipohon oleh maahad tahfiz di seluruh negara.

"Jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM140 juta. Sekarang baru RM23 juta yang dipohon, tapi banyak negeri besar belum hantar seperti Johor dan Selangor.

"Saya rasa jumlah ini (RM23 juta) mungkin akan lebih lagi selepas ini," katanya.

Berita Harian X