Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:59am

Tuah buka akaun sejak lahir beri peluang tunai haji pada usia muda

KOTA BHARU: Tuah membuka akaun simpanan Tabung Haji sejak lahir memberi peluang kepada seorang pemuda dari Kampung Taman Bakti, Pengkalan Chepa, di sini, untuk mengerjakan ibadat haji pada usia muda.

Muhammad Iqbal Rosli, 23, berkata beliau tidak pernah sama sekali menyangka usaha ibu Ros Hanizah Hussein, 61, dan bapanya Rosli Hassan, 64, membuka akaun Tabung Haji untuknya ketika beliau lahir kini memberi 'hasil'.

Katanya, telah menjadi rutin ibu bapanya untuk menyimpan wang yang diperoleh daripada saudara-mara atau kenalan yang menziarahinya ketika bayi termasuk duit setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri ke dalam akaun Tabung Haji.

"Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata apabila saya berjaya merebut peluang yang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam ini terutamanya ketika saya baru berusia 23 tahun.

"Saya akan bertolak untuk menunaikan haji pada 26 Jun ini dan akan pulang ke tanah air pada 7 Ogos depan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Bercerita lanjut, anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, beliau sebelum ini telah mendapat tawaran untuk menunaikan ibadat itu pada 2012 ketika berusia 14 tahun, namun terpaksa ditolak memandangkan ketika itu beliau belum cukup umur.

Bagaimanapun perkara itu tidak mematahkan semangat dan impiannya untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu dengan membuat rayuan hampir setiap tahun kepada Tabung Haji selepas beliau berusia 18 tahun.

"Pada hujung tahun lepas saya mendapat surat daripada Tabung Haji memaklumkan saya ditawarkan untuk menunaikan ibadah haji. Sejak dari itu hampir setiap minggu saya akan mengikuti kelas serta kursus berkaitan ibadat ini untuk memantapkan ilmu yang ada.

"Alhamdulillah, selepas ibu dan bapa saya berpeluang menunaikan ibadat ini pada tahun 2008 kini giliran saya pula untuk mengikuti langkah mereka. Saya juga berdoa adik-beradik saya yang lain juga berpeluang menjadi tetamu Allah pada masa akan datang," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai batik.

Muhammad Iqbal turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya membuka akaun Tabung Haji untuk anak masing-masing sejak kecil bagi memudahkan urusan menunaikan ibadat haji pada masa akan datang. –BERNAMA

Muhammad Iqbal Rosli, 23, antara jemaah muda dari Kota Bharu yang akan mengerjakan haji pada 26 Jun nanti ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini, semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Muhammad Iqbal Rosli, 23, antara jemaah muda dari Kota Bharu yang akan mengerjakan haji pada 26 Jun nanti ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah di Dewan Haji Nik Abdullah Arshad, Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa, di sini, semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X