Sabtu, 11 Jun 2022 | 11:30am
Sebahagian pengunjung yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Sebahagian pengunjung yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Media sosial, PRU-15 faktor pelaris buku politik di PBAKL

KUALA LUMPUR: Polemik semasa berkaitan politik tanah air dengan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat dilihat antara faktor 'pelaris' buku genre berkenaan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

Rata-rata penerbit buku genre politik mengakui buku autobiografi tokoh, sorotan peristiwa besar dan analisis membabitkan parti politik utama negara mendapat sambutan dan permintaan memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Holding Sdn Bhd, Jamalee Bashah, berkata trend membaca buku genre politik khususnya dalam kalangan anak muda semakin berkembang dengan judul sedemikian mula mendapat perhatian ramai.

"Politik masih dianggap nombor satu dan memainkan peranan sangat penting bagi semua lapisan masyarakat di negara ini. Jadi ia antara sebab buku genre ini semakin mendapat tempat dalam pasaran.

"Dalam masa sama kita tahu politik ini sangat banyak bermain dengan sentimen, persepsi dan agenda. Jadi perlu berhati-hati kerana ada karya yang sekadar 'hearsay' (cakap-cakap orang) tetapi buku terbitan kami memfokuskan perjalanan ikon-ikon dalam bidang politik " katanya kepada BH ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, antara buku genre politik yang mendapat sambutan di PBAKL kali ini adalah 'Politik Untuk Pemula', ia membawa anak muda mendalami spektrum politik negara secara mendalam.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Gerak Budaya, Raymond, berkata daripada pemerhatiannya, buku berbentuk ulasan politik antara yang menjadi pilihan pada PBAKL kali ini.

"Mungkin sebab PRU-15 makin hampir menyebabkan ramai yang cenderung ke arah buku politik.

"Ditambah pula kebangkitan ramai penulis muda yang tampil dengan karya sebegini... mereka berani meneroka pelbagai perspektif politik semasa tanah air," katanya.

Bagi Pengurus Jualan dan Pemasaran, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman, naskhah politik sememangnya ada peminat tersendiri dengan jualannya bergantung kepada kaedah pemasaran yang digunakan.

"Memang buku genre politik dan budaya sangat laju jualannya di PBAKL, misalnya buku terbitan kami, 'Gelagat dan Ragam Orang Melayu', karya terjemahan daripada tulisan asal orientalis Barat, Frank Swettenham paling laris setakat ini.

"Kita cetak hampir 1,000 naskhah, tapi baki yang ada sekitar 200 buah dengan kaedah pemasaran melalui medium media sosial seperti Tik Tok dan ulasan oleh pakar bidang mengenai karya itu di Facebook dan media massa sangat membantu meningkatkan jualan," katanya.

Penulis buku politik dan sejarah yang juga Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin, menyifatkan genre politik agak berpengaruh seiring dengan perubahan trend pilihan buku dalam kalangan remaja.

"Saya ada hasilkan sekitar empat buah buku genre politik dengan kesemuanya sudah memasuki cetakan keempat.

"Saya melihat trend pembaca muda terutama remaja yang terarah kepada pembacaan sebegini menyumbang kepada peningkatan jualan karya politik.

"Remaja sekarang ini terutama golongan pelajar universiti sangat kritikal (pemikiran)... mereka minat untuk tahu dan mahu melihat pandangan politik itu dari sudut berbeza," katanya yang tidak menafikan pengaruh media sosial dengan pelbagai perbincangan mengenai landskap politik tanah air turut menyumbang kepada peningkatan pembaca genre itu.

Berita Harian X