Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:17pm
Mazny M.R atau nama sebenarnya, Mazny Md Ramli (kanan) melayan pembaca dan menandatangani novel di reruai NSTP sempena PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Mazny M.R atau nama sebenarnya, Mazny Md Ramli (kanan) melayan pembaca dan menandatangani novel di reruai NSTP sempena PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Permintaan akhbar terbitan NSTP masih tinggi

KUALA LUMPUR: Mengembalikan semula budaya membaca akhbar, khususnya keluaran The New Straits Times Press (NSTP) menjadi matlamat utama penyertaan NSTP pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran Akhbar NSTP, M Prakash, berkata permintaan bagi akhbar terbitan NSTP masih menggalakkan dengan setiap hari naskhah akhbar Berita Harian (BH), Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST) yang dijual di PBAKL laris dalam tempoh singkat.

"Saya lihat permintaan pembaca terhadap akhbar fizikal masih ada dan tinggi. Hari ini saja kami bawa 450 naskhah BH, HM dan HM.

"Dalam tempoh dua jam dari jam 10 pagi tadi semua akhbar habis dijual, jadi itulah matlamat NSTP berada di PBAKL supaya orang ramai tahu akhbar keluaran syarikat ini masih ada, dapat mengenali jenama (akhbar) sekali gus membudayakan bersama budaya membaca," katanya ketika ditemui di reruai NSTP di Bilik Mawar, di sini, hari ini.

Mazny bersama peminat cilik di reruai NSTP sempena PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee
Mazny bersama peminat cilik di reruai NSTP sempena PBAKL 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Beliau berkata, pesta buku itu juga menjadi medan mempromosikan langganan e-paper ketiga-tiga akhbar keluaran NSTP dengan pelanggan yang mendaftar turut diberikan pelbagai hadiah misteri tajaan pelbagai syarikat antaranya Julie's Biscuit, Teh Cap Panglima dan Nestle.

"Sepanjang PBAKL kita menyasarkan 300 pendaftaran untuk langganan e-paper (tempoh sebulan) bagi ketiga-tiga akhbar di bawah NSTP.

"Setakat ini, kita sudah capai 70 peratus langganan dan menjangkakan mampu memenuhi sasaran ini.

"Selain itu, pengunjung yang hadir ke reruai NSTP juga boleh mendapatkan akhbar BH secara percuma sepanjang PBAKL berlangsung sebanyak 16,000 naskhah BH diedarkan dengan jumlahnya setiap hari sekitar 1,600 naskhah," katanya.

Reruai NSTP turut dimeriahkan dengan 'Sesi Tandatangan Novel Remaja' bersama pemenang utama Sayembara Novel Remaja dan Kanak-Kanak BH 2017, Mazny Md Ramly.

"Saya berterima kasih kepada pihak NSTP kerana menyediakan platform untuk penulis bersama dengan pembaca, di samping dapat bermesra sekali gus membuka ruang untuk mempromosikan karya.

"Diharapkan BH dapat meneruskan sayembara penulisan sebegini, kerana ia bukan saja peluang untuk penulis menunjukkan bakat, tetapi memperkayakan lagi khazanah sastera kanak-kanak di negara kita," katanya.

Berita Harian X