Khamis, 9 Jun 2022 | 8:11pm
Ronald (tengah) bergambar bersama Zachary (dari kiri), Eva Oskam; wakil Hoogendoorn Growth Management, Wierd Vonk dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan selepas menandatangani perjanjian kerjasama hari ini.
Ronald (tengah) bergambar bersama Zachary (dari kiri), Eva Oskam; wakil Hoogendoorn Growth Management, Wierd Vonk dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan selepas menandatangani perjanjian kerjasama hari ini.

Teknologi pertanian persis pintar tangani isu sekuriti makanan

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi pertanian persis pintar dijangka mampu meminimumkan isu berkaitan aspek sekuriti makanan, selain meningkatkan pendapatan negara.

Teknologi pertanian persis pintar akan memberikan impak pengeluaran makanan lebih besar, meningkatkan pendapatan petani, penggunaan sumber dan input pertanian lebih cekap seperti air, tenaga, benih serta baja.

Pengarah Urusan Idea Company Sdn Bhd, Zachary Aman, berkata perkembangan digital berkenaan antara lain bakal memudahkan pengurusan pertanian serta meningkatkan kemahiran modal insan.

"Ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan keperluan tenaga kerja dan pemahaman lebih baik mengenai proses mengusahakan tanaman.

"Melalui penggunaan teknologi pertanian persis pintar, keperluan tanaman mampu dipenuhi pada masa yang ditetapkan dengan jumlah betul dan ukuran tepat. Hasilnya lebih berkualiti serta kawalan risiko lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan Hoogendoorn Growth Management yang disaksikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Duta Belanda ke Malaysia, Eva Oskam, hari ini.

Zachary berkata, penggunaan teknologi persis pintar seperti Internet Kebendaaan (IoT), perkhidmatan bersambung dan sistem autonomi memberi peluang kepada petani tempatan membuat keputusan pada tahap satu meter persegi atau tanaman individu, bukannya keseluruhan ladang.

"Ketepatan ini membantu petani mendapatkan hasil lebih banyak dan mengurangkan masalah pertanian tidak dapat diselesaikan melalui kaedah tradisional.

"Kerjasama ini mengukuhkan keinginan kita untuk menambah baik dan menggalakkan penggunaan alat pertanian pintar dalam kalangan petani bagi mengoptimum pengeluaran melalui teknologi terkini," katanya.

Mengulas kerjasama itu, Zachary berkata, ia bakal membolehkan petani di negara ini lebih bersedia untuk mengurus mekanisme operasi penting dalam pertanian tanpa perlu membuat agakan serta mengurangkan kebolehubahan.

"Ini dicapai menggunakan data dan maklumat empirikal untuk membantu petani tempatan memahami hubungan antara pembolehubah dan output.

"Aspek ini menyumbang kepada gambaran lebih besar tentang pertanian pintar dan peranan utama yang dimainkannya dalam usaha negara mencapai sekuriti makanan," katanya.

Berita Harian X