Khamis, 9 Jun 2022 | 6:53pm
Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. - Foto NSTP/AZIAH AZMEE
Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. - Foto NSTP/AZIAH AZMEE

Ahmad Zaini dilantik Pengarang Kumpulan BH

KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) hari ini mengumumkan pelantikan pemangku Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman sebagai Pengarang Kumpulan BH yang baharu, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, NSTP memaklumkan, Ahmad Zaini menggantikan Datuk Saidon Idris yang bersara, baru-baru ini.

Ahmad Zaini, 58, memulakan kerjayanya sebagai wartawan di BERNAMA pada 1984, sebelum menyertai BH pada 18 Mac 1991 dan berkhidmat dengan akhbar Melayu terulung itu sehingga kini.

Berbekalkan lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan, Ahmad Zaini memegang pelbagai jawatan dalam editorial BH, termasuk sebagai Ketua Biro BH Kedah, Penolong Pengarang Berita, Pengarang Berita, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu News & Digital, Pengarang Eksekutif Berita serta Pengarang Eksekutif Komersial & Hal Ehwal Semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata syarikat berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Ahmad Zaini sebagai Pengarang Kumpulan BH yang baharu.

"Beliau adalah seorang tokoh yang sangat dihormati dalam kalangan pengamal kewartawanan dan pengalaman serta pengetahuan beliau berkenaan syarikat begitu berharga ketika kami berusaha untuk terus berkembang.

"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saidon atas usaha murni yang beliau lakukan untuk mengembangkan jenama BH sehingga ke tahap sekarang. Kami yakin Ahmad Zaini akan dapat meneruskan legasi Saidon dan mampu menerajui BH khususnya bagi mengukuhkan lagi kedudukan NSTP sebagai penyedia berita terkemuka di Malaysia," katanya.

BH adalah akhbar harian berbahasa Melayu terbitan oleh NSTP, pertama kali diterbitkan pada 1 Julai 1957 sebagai akhbar arus perdana pertama di Malaysia, dengan Edisi Ahadnya, BH Ahad, dilancarkan tiga tahun kemudian pada 10 Julai 1960.

Menurut laporan Nielsen Consumer & Media View pada Januari hingga Disember 2021 dan 2020, BH kini menjadi satu akhbar edaran tertinggi di Malaysia dengan lebih 1.18 juta pembaca untuk edisi hariannya serta 906,000 pembaca untuk edisi Ahad.

Berita Harian X