Rabu, 8 Jun 2022 | 3:59pm

NSTP beri baucar percuma pengunjung bertuah PBAKL 2022

KUALA LUMPUR: Kehadiran petugas The New Straits Times Press (NSTP) di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), hari ini memberi kejutan istimewa kepada 50 pengunjung apabila masing-masing menerima baucar percuma.

Pemberian baucar membeli belah itu dibuat atas pembabitan mereka dalam pelbagai aktiviti yang disediakan NSTP.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit, berkata pemberian baucar itu adalah sebahagian strategi promosi NSTP bagi menarik minat pengunjung.

"Pengunjung sangat 'sporting' untuk turut serta bersama kami di pentas utama menyertai pelbagai aktiviti selama satu jam.

"Ia ruang promosi yang baik untuk akhbar terbitan NSTP iaitu Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times," katanya.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (kiri) bersama pengunjung yang menyertai aktiviti anjuran The New Straits Times Press (NSTP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 hari ini. - Foto NSTP

Beliau berkata, NSTP mempunyai dua reruai di PBAKL edisi ke-39 ini.

Selain mempromosi langgan akhbar e-paper dan naskhah fizikal, reruai itu turut menjual novel terbitan NSTP dan barangan cenderamata.

Untuk setiap langganan baharu mana-mana akhbar terbitan NSTP pengguna turut diberikan hadiah misteri.

PBAKL kali ke-39 itu sudah merekodkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung sejak 3 Jun lalu. Ia dianjurkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di bawah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama persatuan industri buku Malaysia.

Pesta itu yang akan berlangsung hingga 12 Jun ini dimulakan sejak 1984. Ia tertangguh hampir dua tahun disebabkan penularan COVID-19.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (tengah) bersama sebahagian pengunjung yang menerima baucer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 hari ini. - Foto NSTP
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit (tengah) bersama sebahagian pengunjung yang menerima baucer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 hari ini. - Foto NSTP
Berita Harian X