Rabu, 8 Jun 2022 | 3:58pm
Laporan BH mengenai peningkatan kejadian jenayah ganas dan kejam akhir-akhir ini, terutama yang dilakukan ahli keluarga sendiri.
Laporan BH mengenai peningkatan kejadian jenayah ganas dan kejam akhir-akhir ini, terutama yang dilakukan ahli keluarga sendiri.

Rujuk kaunselor jika mental celaru - Rina

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah dan keganasan fizikal kebelakangan ini dipercayai disebabkan tekanan perasaan tidak terkawal yang boleh dielakkan dengan bantuan peringkat awal.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun meminta individu mengalami atau disedari mempunyai tanda awal yang boleh membawa kepada kecelaruan mental dirujuk kepada kepada pihak berkaitan seperti kaunselor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

"Tekanan perasaan atau stres boleh terjadi jika individu alami ketidakstabilan fizikal atau mental. Ia berkaitan dengan cara menyesuaikan diri dengan persekitaran serta peristiwa seharian.

"Tidak dinafikan ada kemungkinan peningkatan kes jenayah fizikal dan perlakuan ganas kebelakangan ini disebabkan tekanan perasaan tidak terkawal. Tindakan berkaitan keganasan fizikal seperti membunuh menunjukkan tahap kecelaruan yang telah teruk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, rujukan kepada pihak berkaitan seperti kaunselor membolehkan bantuan psikososial peringkat awal disalurkan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah sehingga tingkah laku boleh mengancam diri mahupun orang lain.

"Kaunselor akan merujuk kes kepada pakar psikiatri atau psikologi sekiranya mendapati kes memerlukan intervensi pakar dan rawatan lanjut. Ahli keluarga lain yang terkesan juga boleh dibantu kaunselor untuk mendapatkan sokongan psikososial dan kumpulan sokongan emosi, jika perlu," katanya.

Rina menjelaskan, merujuk atau membawa seseorang yang berdepan tekanan perasaan kepada kaunselor bukan bererti individu terbabit mempunyai penyakit mental, sebaliknya ia adalah proses membantu mereka mengurus tekanan dan bertenang semula.

Katanya, sekiranya dibiarkan tanpa perhatian, ia boleh berlarutan dan berisiko menjadi penyakit mental serta mendorong pelaku melakukan perbuatan kejam, terutamanya jika di bawah pengaruh dadah.

"Antara kecelaruan kesihatan mental ialah sering menyendiri, gagal dihubungi serta mengelak bertemu dan bertegur sapa dengan ahli keluarga dan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018 mendapati kira-kira 29 peratus dewasa atau seorang daripada tiga individu dewasa di negara ini mengalami gangguan mental, manakala dianggarkan 12 peratus kanak-kanak dan remaja turut mengalaminya.

Katanya, sehingga April lalu, Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) mencatatkan pendaftaran 9,884 kaunselor bagi tujuan meneruskan pengamalan sebagai kaunselor bertauliah yang boleh memberi khidmat kepada masyarakat memerlukan.

Rina berkata, LKM juga berusaha mempertingkat kompetensi kaunselor menerusi Program Perkembangan Profesional Berterusan (CPD), iaitu program bagi membekalkan golongan itu dengan pengetahuan, nilai kemahiran serta amalan profesional melalui program latihan terancang dan sistematik.

"Ia bagi memastikan kaunselor berdaftar sentiasa mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan profesional," katanya.

Minggu lalu, negara dikejutkan dengan dua kejadian jenayah ganas yang menyayat hati, dilakukan ahli keluarga sendiri.

Di Parit Buntar, Perak, seorang wanita 69 tahun ditemui maut dalam tangki kumbahan rumahnya dengan 15 bahagian badan dikerat, dipercayai oleh anak lelakinya yang tidak berpuas hati berhubung pembahagian harta.

Dalam kejadian di Pasir Mas, Kelantan pula, seorang wanita berusia 26 tahun yang sarat mengandung tujuh bulan ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta, disyaki angkara bekas suaminya dalam kejadian dikaitkan dengan motif cemburu.

Pakar psikatri berpandangan antara punca meningkatnya kejadian ganas, termasuk oleh ahli keluarga sendiri adalah disebabkan 'membiarkan' tekanan perasaan berlarutan dihadapi menjadi penyakit mental sehingga mendorong perbuatan kejam yang bukan saja terhadap diri sendiri, malah orang sekeliling.

Berita Harian X