Selasa, 7 Jun 2022 | 8:20pm
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar menunjukkan barang yang digunakan seorang lelaki untuk mencuri kereta lama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar menunjukkan barang yang digunakan seorang lelaki untuk mencuri kereta lama pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini. - Foto NSTP/Fathil Asri

'MacGyver' tinggal kereta curi tepi jalan bila minyak habis

KUALA LUMPUR: Seorang bekas banduan yang baru enam bulan dibebaskan dari Penjara Kajang ditahan selepas dipercayai mendalangi lapan kes curi kenderaan di sekitar ibu kota bagi tujuan kegunaan sendiri, Ahad lalu.

Suspek berusia 40 tahun ditahan di Flat Sri Sabah, Cheras jam 3 petang susulan satu aduan yang diterima polis berkaitan kehilangan sebuah kereta di Taman Miharja, Cheras pada 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata modus operandi suspek adalah mencuri kenderaan lama bagi tujuan kegunaannya sendiri di sekitar daerah Cheras, Pudu, Petaling, Wangsa Maju, Brickfields dan Teluk Intan, Perak.

Siasatan mendapati suspek mula aktif mencuri kenderaan sejak enam bulan lalu selepas menjalani hukuman penjara selama setahun di Penjara Kajang atas kesalahan sama.

"Siasatan juga mendapati suspek akan mencuri kenderaan lama yang diparkir di luar kawasan perumahan seperti apartmen untuk kegunaannya sendiri dengan cara 'ala MacGyver'.

"Suspek akan meninggalkan kenderaan terbabit di tepi jalan apabila minyak habis namun akan mengambil alat ganti seperti bateri dan sebagainya untuk dijual," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut beliau, polis turut berjaya mendapatkan kembali lapan kenderaan dicuri suspek iaitu empat Proton Iswara, dua Proton Saga, sebuah van dan sebuah Proton Wira.

"Semua kenderaan itu ditunjukkan oleh suspek di lokasi yang ditinggalkan. Suspek turut dikesan menyasarkan kenderaan lama kerana mudah untuk dicuri," katanya sambil menambah ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati suspek positif dadah.

"Suspek juga memiliki tujuh rekod lampau dalam kes curi kenderaan dan enam rekod mengikut Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Suspek kini direman empat hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Berita Harian X