Selasa, 7 Jun 2022 | 6:05pm
Kunjungan orang ramai mencecah lebih 500,000 orang dalam tempoh empat hari PABKL 2022 berlangsung di WTCKL. NSTP/FATHIL ASRI.
Kunjungan orang ramai mencecah lebih 500,000 orang dalam tempoh empat hari PABKL 2022 berlangsung di WTCKL. NSTP/FATHIL ASRI.

Pengunjung PBAKL lebih 500,000 orang

KUALA LUMPUR: Selepas empat hari berlangsung, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sudah mencatatkan lebih 500,000 pengunjung, melebihi 50 peratus daripada sasaran asal penganjur.

Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron, berkata sejumlah 556,185 pengunjung direkodkan mengunjungi PBAKL sejak hari pertama Jumaat lalu hingga semalam.

Malah, Mohd Khair turut gembira selepas dimaklumkan jumlah jualan direkodkan hampir semua pempamer amat memberangsangkan dan melebihi sasaran masing-masing.

"Jumlah pengunjung setakat semalam sudah melebihi separuh juta dan hari ini juga masih ramai yang hadir. Setakat ini, kehadiran pengunjung melebihi jangkaan, kerana kami sasarkan sekitar 700,000 hingga sejuta pengunjung dalam tempoh 12 hari PBAKL berlangsung.

"Pempamer juga tersenyum lebar kerana hasil jualan mereka amat memberangsangkan. Hampir keseluruhan pempamer memaklumkan jumlah jualan sudah melebihi sasaran setakat hari keempat," katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Khair mengakui, sambutan luar biasa itu antara lain kerana 'dendam rindu' orang ramai untuk menghadiri PBAKL, selepas pesta buku terbesar di Malaysia itu tidak dianjurkan secara fizikal selama dua tahun.

Selain itu, katanya, faktor utama disebabkan promosi secara besar-besaran yang dilaksanakan jawatankuasa penganjur dan pempamer, termasuk menggunakan pempengaruh, selebriti dan individu terkenal.

"Kita juga banyak pelancaran buku baharu yang menjemput individu kenamaan hadir bersama ketika majlis pelancaran.

"Kita lihat antaranya Perdana Menteri juga sudah datang bersama Menteri Kanan Pendidikan sebelum ini, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta bekas Yang Dipertua Negeri Melaka hadir hari ini," katanya.

Mengulas tarikan terkini di PBAKL, Mohd Khair berkata, pihaknya melancarkan 'Peti Gergasi Sumbangan Buku' hari ini, yang ditempatkan berhampiran pentas utama di tingkat bawah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menerusi peti gergasi itu, katanya, orang ramai yang berhasrat menyumbang buku, sama ada terpakai atau baharu, boleh berbuat demikian dengan memasukkan buku berkenaan ke dalam peti disediakan.

"Inisiatif ini dilaksanakan selepas kita menerima satu cadangan daripada penyokong pesta buku, supaya sesiapa saja boleh menyumbang. Mereka boleh membawa apa juga jenis buku dan masukkan ke dalam peti ini.

"Buku yang kita terima akan disumbangkan kepada mana-mana perpustakaan desa atau sekolah terpilih yang memerlukannya," katanya.

Berita Harian X