Isnin, 6 Jun 2022 | 4:11pm
Laporan muka depan BH hari ini mengenai peningkatan kejadian jenayah ganas dan kejam akhir-akhir ini, terutama yang dilakukan ahli keluarga sendiri.
Laporan muka depan BH hari ini mengenai peningkatan kejadian jenayah ganas dan kejam akhir-akhir ini, terutama yang dilakukan ahli keluarga sendiri.

Keluarga, masyarakat usah 'lepas tangan' bantu tangani isu mental

KUALA LUMPUR: Keluarga dan masyarakat digesa tidak bersikap 'lepas tangan' daripada membantu individu terdekat yang mengalami tekanan perasaan dan penyakit mental, yang dikaitkan sebagai punca peningkatan jenayah ganas dan kejam sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata dua kumpulan itu berperanan penting untuk mengenal pasti ahli keluarga atau individu terdekat yang mengalami tekanan perasaan.

Selain memberi sokongan moral, katanya, mereka juga berperanan membawa individu berkenaan ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan intervensi awal, sebelum masalah tekanan perasaan bertukar menjadi lebih serius.

"Peranan komuniti, terutama ahli keluarga dan rakan-rakan untuk membantu mengenal pasti awal mereka yang mengalami tekanan perasaan. Mereka juga perlu membawa individu yang terkesan ke fasiliti kesihatan seawal mungkin untuk penilaian dan intervensi bersesuaian.

"Tanggungjawab (mengatasi isu tekanan perasaan dan kesihatan mental) tidak hanya terletak pada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan BH hari ini mengenai peningkatan kejadian jenayah ganas dan kejam sejak akhir-akhir ini, terutama yang dilakukan ahli keluarga sendiri.

Ini termasuk dua insiden ganas direkodkan semalam, membabitkan seorang warga emas wanita berusia 68 tahun yang dikerat 15 bahagian dan ditemui dalam tangki kumbahan rumahnya di Parit Buntar, Perak, dipercayai dibunuh anak lelaki yang tidak berpuas hati berhubung pembahagian harta.

Satu lagi insiden di Pasir Mas, Kelantan, membabitkan seorang wanita berusia 26 tahun yang sarat mengandung tujuh bulan ditemui mati dengan kesan tembakan pada perut, disyaki angkara bekas suaminya dalam kejadian dikaitkan dengan motif cemburu.

Pakar psikiatri berpandangan antara punca meningkatnya kejadian ganas, termasuk oleh ahli keluarga sendiri adalah disebabkan 'membiarkan' tekanan perasaan dihadapi berlarutan menjadi penyakit mental hingga mendorong mereka melakukan perbuatan kejam.

Dr Noor Azmi memaklumkan, individu atau keluarga boleh mendapatkan bantuan berkaitan tekanan perasaan dan penyakit mental di klinik kesihatan terdekat, termasuk berjumpa doktor atau pakar perubatan keluarga.

"KKM memiliki 60 hospital, termasuk empat institusi mental dan 1,161 klinik kesihatan yang memberi perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah dan penyakit mental," katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat peningkatan jenayah ganas mutakhir ini tidak semestinya disebabkan oleh penyakit mental semata-mata, kerana banyak faktor lain yang boleh mendorong seseorang itu bertindak kejam.

"Banyak faktor sosial lain yang boleh menyumbang kepada isu keganasan, antaranya krisis kehidupan, dendam, tidak boleh mengawal kemarahan, penyalahgunaan bahan larangan dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X