Ahad, 5 Jun 2022 | 5:41pm

JAKIM mahu perbanyak buku genre Islam semua peringkat umur

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperbanyakkan penerbitan buku genre Islam yang bersesuaian dan merangkumi keperluan semua peringkat umur.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata inisiatif itu penting untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan umat Islam.

"Saya meminta Pengarah Bahagian Penerbitan JAKIM untuk melahirkan buku bersesuaian dengan peringkat umur masyarakat Malaysia dan (karya) yang sangat diperlukan masyarakat. Ia perlulah penerbitan buku yang merangkumi pelbagai usia, misalnya buku genre kanak-kanak, di mana langkah ini telah diambil oleh JAKIM.

"Ini juga antara usaha JAKIM untuk menerapkan budaya membaca dalam kalangan umat Islam. JAKIM ada pelbagai platform sebaran dakwah, termasuk program televisyen dan melaluinya kita menerapkan kempen galakan membaca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Reruai dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan JAKIM di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dan Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron.

Ahmad Marzuk berkata, selari era digitalisasi, JAKIM turut mengorak langkah memperbanyakkan bahan bacaan dalam bentuk e-buku untuk memenuhi keperluan semasa pembaca.

"Kreativiti dan inovasi dalam penghasilan bahan bacaan berbentuk digital yang mengadaptasi kecanggihan teknologi sedia ada seperti e-buku, perlu diperluaskan.

"JAKIM sedang berusaha memperbanyakkan penerbitan buku secara digital atau e-buku supaya maklumat berkaitan hal ehwal Islam dapat dicapai dengan mudah oleh segenap lapisan masyarakat," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai rayuan Malaysia bagi kuota tambahan ibadat haji tahun ini pula, beliau memaklumkan setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang makluman berhubung perkara terbabit.

"Insya-Allah, doakanlah (semoga kuota tambahan diluluskan). Kita menjangka penerbangan terakhir jemaah adalah pada 3 Julai depan," katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan enam buku baharu terbitan JAKIM, iaitu Amalan Pensijilan Halal Penulis hasil karya Dr Lokman AB Rahman; Islam Mendepani Cabaran (Tan Sri Dr Ismail Ibrahim); dan Pengaruh Qiraat Shazzah Dalam Pendalilan Imam Mazhab Fiqh (Dr Yusri Chek).

Selain itu, karya terjemahan berjudul Jami' At-Tirmizi Jilid 2, Mughni Al-Muhtaj dan Fiqh Al-Mu'tamad - Fiqh Mazhab Asy-Syafiíe Yang Mu'tamad.

Di samping pameran dan jualan buku terbitan JAKIM, reruai agensi itu turut menampilkan pelbagai aktiviti lain, termasuk sembang santai buku, resensi buku baharu terbitan JAKIM, pertandingan membaca buku kanak-kanak terbitan JAKIM, kuiz bersama pelanggan, dan cabutan bertuah bagi pembeli buku terbitannya.

Ahmad Marzuk menyempurnakan Majlis Perasmian Reruai dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan JAKIM di Pentas Utama PBAKL 2022 di WTC Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Ahmad Marzuk menyempurnakan Majlis Perasmian Reruai dan Pelancaran Buku Baharu Terbitan JAKIM di Pentas Utama PBAKL 2022 di WTC Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X