Ahad, 5 Jun 2022 | 12:05pm
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Rakyat perlu turut serta melestarikan alam sekitar - Tengku Hassanal

KUALA LUMPUR: Pemangku Raja Pahang menyeru seluruh rakyat negara ini untuk turut serta melestarikan alam sekitar bersempena ulang tahun ke-50 Hari Alam Sekitar Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disambut pada 5 Jun setiap tahun.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah seluruh agensi awam dan swasta menjadi peserta aktif dalam rundingan iklim dan biodiversiti peringkat PBB seterusnya menyokong inisiatif utama seperti cadangan melindungi dan memelihara sekurang-kurangnya 30 peratus daratan dan lautan menjelang 2030.

"Walaupun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meningkat di seluruh dunia sejak lima dekad lalu, namun pelbagai kegiatan manusia memusnahkan 'jaringan kehidupan' yang kita perlukan untuk bekalan

makanan, air, udara bersih dan seumpamanya.

"Kita perlu menterjemahkan aspirasi menjadi realiti," titahnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tengku Hassanal yang turut turun padang melawat lokasi dan kemusnahan Tasik Chini seperti yang dibangkitkan tahun lalu bertitah supaya Hutan Simpan Chini diperluas untuk meningkatkan perlindungan kepada tumbuhan dan haiwan serta memastikan kehidupan Orang Asli di sekitar tasik tidak terus terancam.

"Alhamdulillah, kerajaan negeri Pahang sudah pun selesai

mewartakan tambahan kawasan Hutan Simpan Chini pada 5 Ogos tahun lalu daripada dahulunya 4,600 hektar kepada kini 6,502.8 hektar.

"Peluasan Hutan Simpan Chini secara langsung dapat melindungi flora dan fauna di tasik itu serta kawasan di sekitarnya.

"Tasik Chini adalah permata alam di Pahang dan menjadi tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di Malaysia.

"Keunikannya yang bernilai tinggi dan bertaraf dunia perlu

dipelihara dan dipulihara," titah baginda.

Dua acara utama berkaitan alam sekitar akan berlangsung tahun ini iaitu 'Conference of Pafties on Climate Change (COP27)' di Mesir dan mesyuarat dua tahun sekali UN Biodiversity Treaty (COP15) di China.

Baginda bertitah, sebagai negara anggota Malaysia perlu membabitkan diri secara aktif dengan menyertai dialog antarabangsa.

"Kita perlu menyokong kebanyakan komitmen yang dipersetujui, tetapi perlu juga bersifat realistik.

"Sebagai contoh, Malaysia perlu mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050. Aspirasi ini penting dan terpuji, namun pada masa sama kita perlu menyedari langkah memansuhkan subsidi bahan api fosil akan memberikan impak besar kepada warga Malaysia.

"Pengurangan penggunaan tenaga sedikit sebanyak akan melumpuhkan dan menjejaskan ekonomi negara, maka kita perlu mendidik masyarakat mengenai penjimatan tenaga dengan pelbagai cara seperti mengurangkan penggunaan pendingin hawa atau menggunakan tenaga dengan lebih efisien," titahnya.

Tengku Hassanal turut melahirkan rasa syukur kerana kebanyakan negara termasuk Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh membangunkan pelan bagi mengurangkan kemusnahan biodiversiti.

"Ketika ini lebih sejuta spesies haiwan dan tumbuhan sedang mengalami ancaman kepupusan dan sehubungan itu satu pelan berwawasan besar, iaitu 'Global Biodiversity Framework Pasca 2020' sedang dirunding dalam Convention on Biological Diversity untuk diluluskan pada coP1s.

"Teras pelan itu adalah cadangan berasaskan kajian sains bagi memperuntukkan 30 peratus keluasan tanah dan perairan dunia sebagai kawasan perlindungan dan pemuliharaan.

"Malaysia perlu turut serta bagi menjayakan sasaran unggul ini seterusnya menyerlahkan kebersamaan dengan seluruh warga dunia menangani isu ini, apatah lagi negara kita adalah sebuah daripada 17 negara megadiversiti di dunia yang diiktiraf kerana kaya dengan kepelbagaian spesies flora," titahnya.

Berita Harian X