Ahad, 5 Jun 2022 | 9:28am
Majlis Belia Malaysia
Majlis Belia Malaysia

Cadang kembalikan GST pada kadar 3 peratus - MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan dan ditetapkan pada kadar tiga peratus.

Naib Presiden MBM, Datuk Syed Osman Mohamed, berkata tiga peratus adalah satu kadar terbaik ketika ini dan satu daripada langkah efektif bagi menambah pendapatan negara dalam menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Katanya, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara dan pada masa sama membantu kebajikan rakyat, khususnya golongan belia.

"Sistem pencukaian ini mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

"Ia (GST) juga mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

"Kutipan hasil GST boleh dikembalikan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar, berbanding dengan nilai GST yang dibayar oleh rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Osman berkata, dengan adanya GST kerajaan dijangka akan mendapat hasil hampir RM20 bilion setahun, berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Justeru, katanya, rakyat perlu berfikir dan sedar kerajaan tidak banyak pilihan pada masa ini, di samping tanggapan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik sempit bagi meraih sokongan dengan mewujudkan persepsi negatif mengenai GST.

"Semua pihak perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat mengenai kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST.

"Sebagai rakyat, kita perlu bantu kerajaan dalam memastikan negara terus mampu berdaya saing, mengukuhkan ekonomi seterusnya kembali membantu rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, majlis berkenaan menyokong penuh hasrat kerajaan mengembalikan GST dan pada masa sama meminta kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan menggerakkan usaha mendidik dan menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai sudut positif sistem pengutipan cukai yang lebih telus seterusnya mampu mengawal harga barang.

"Bagaimanapun, MBM mencadangkan apabila GST diperkenalkan semula kerajaan perlu memperbanyakkan lagi program subsidi bersasar antaranya menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.85 per liter, mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2,000cc ke bawah.

"Selain itu, mengurangkan harga tol dalam bandar dan lebuh raya PLUS, memberikan diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar memperoleh CGPA 4.0 dan 3.5 ke atas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya dengan adanya sistem percukaian GST ia mampu menstabilkan ekonomi negara dan kerajaan juga boleh mengusahakan program rasionalisasi subsidi bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah serta menambah Bantuan Prihatin Rakyat.

Berita Harian X