Sabtu, 4 Jun 2022 | 4:34pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bergambar bersama hadirin program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus. NSTP/GHAZALI KORI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bergambar bersama hadirin program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus. NSTP/GHAZALI KORI

Konsep Keluarga Malaysia ketepi perbezaan

KUALA NERUS: Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan pada 22 Ogos tahun lalu menggariskan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam usaha memulihkan negara selepas pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata, konsep bersifat inklusif itu turut merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum, sekali gus mengajak rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan dalam memulihkan negara.

"Ia bagi menggembleng tenaga dalam mendepani apa juga cabaran mendatang sebagai keluarga yang saling melengkapi.

"Apabila kita mempunyai titik persamaan, ia akan menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik.

"Kesejahteraan dan kestabilan ini yang akan kita wariskan kepada anak cucu pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri penting dan tepat pada masanya, terutama dalam membawa negara kembali bangkit selepas berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Melalui konsep Keluarga Malaysia, beliau yakin tiada yang terpinggir, tertinggal dan tersisih dalam proses kebangkitan dan pembangunan negara.

Katanya, pendekatan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) ke negeri dilihat memberi kemudahan dan kefahaman mendalam mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Malah, penekanan terhadap penyatuan dan perpaduan jelas dilihat dalam konsep Keluarga Malaysia.

"Apa juga perbezaan antara kita sama ada agama, bangsa dan fahaman politik, janganlah sampai digadai nikmat penyatuan dan perpaduan yang ada.

"Segala masalah mahu pun perselisihan perlu diselesaikan secara sebuah keluarga, iaitu Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X