Jumaat, 3 Jun 2022 | 3:51pm
Foto yang dirakam pihak polis menunjukkan lokasi pokok ganja ditanam bekas duta dan anak lelakinya di sekitar rumahnya di Janda Baik, Bentong, Pahang. - Fail NSTP/Aizuddin Saad
Foto yang dirakam pihak polis menunjukkan lokasi pokok ganja ditanam bekas duta dan anak lelakinya di sekitar rumahnya di Janda Baik, Bentong, Pahang. - Fail NSTP/Aizuddin Saad

Bekas duta, anak didakwa edar ganja

BENTONG: Seorang bekas duta bersama anak lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja dan menyimpan minyak ganja di sebuah rumah, 21 Mei lalu.

Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya, Mohamed Riza Zainal Abidin, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan minyak ganja manakala tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 9(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B (1)(a) akta sama.

Mohamed Riza turut mengaku tidak bersalah bagi tuduhan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Berdasarkan fakta kes, mereka didakwa menyimpan minyak ganja seberat 60 mililiter (ml) di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik.

Bagi pertuduhan lain, kedua-duanya didakwa mengedar 1,020 gram dadah jenis ganja di tempat sama.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hashim manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Khalid.

Tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan, Tania Scivetti dan Kamil Azman manakala 13 Jun ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula.

Berita Harian X