Rabu, 1 Jun 2022 | 9:18pm
Profesor ekonomi dan pengurusan perniagaan, UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul melakukan sesi pembentangan pada Sidang 4: Bahasa Melayu dan Ekonomi sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini
Profesor ekonomi dan pengurusan perniagaan, UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul melakukan sesi pembentangan pada Sidang 4: Bahasa Melayu dan Ekonomi sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini

Kelestarian Bahasa Melayu dalam ekonomi, perniagaan

BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf, memiliki martabat sebagai bahasa besar dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti berjaya sebagai 'lingua franca' sejak zaman-berzaman.

Bahasa Melayu mula menjadi bahasa perdagangan dalam kalangan penduduk Melaka, dan antara para pedagang dari luar Tanah Melayu.

Semasa menjalankan urusan berkaitan dengan ekonomi dan perniagaan, dialek Melayu lah yang paling asas dan ia kemudiannya berkembang menjadi Bahasa Melayu.

Belajar dari sejarah Melaka

Setiap pedagang yang datang ke Melaka mestilah mampu bertutur dalam bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berniaga secara bebas dan mendapat keuntungan optimum.

 

Penguasaan besar bahasa Inggeris dalam hal-ehwal ekonomi dan perniagaan hari ini menyebabkan penulis terpanggil mengajak semua masyarakat Malaysia mengenang kembali zaman kegemilangan bahasa Melayu satu ketika dahulu.

Hari ini dunia mengangkat bahasa Inggeris sebagai lidah bagi kebanyakan kegiatan ekonomi dan perniagaan sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa peranan tersebut pernah dimainkan oleh bahasa Melayu.

Berikutan perubahan landskap ekonomi dan cabaran globalisasi, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu.

Ia juga berlaku disebabkan oleh pembudayaan yang mendalam melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan negara yang panjang, dan penerimaan bidang moden yang diasaskan oleh Tamadun Barat.

Ia semakin memburuk sementelah sektor ekonomi negara masa kini mula dikuasai oleh orang luar dan bangsa asing. Keadaan ini akhirnya membawa dilema dalam kalangan masyarakat dan pemimpin.

Rakyat dilihat perlu menguasai bahasa Inggeris tetapi dalam masa yang sama bahasa Melayu harus dipertahan dan dimartabatkan.

 

Meskipun wujud usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang ekonomi dan perniagaan, masyarakat didapati masih gentar akan kewibawaan dan keupayaannya, malah ada pihak secara terang-terangan mempertikaikan usaha murni tersebut.

Para pelajar disogokkan dengan pelbagai bahan rujukan yang ditulis dalam pelbagai bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris. Keyakinan anak Malaysia terhadap keupayaan bahasa Melayu menjadi semakin goyah dek pengaruh besar bahasa Inggeris.

Sehubungan itu bahasa Melayu secara beransur-ansur ditolak ke tepi, ditinggalkan dan seolah-olah dianaktirikan di bumi sendiri.

Hal ini adalah sepahit jadam untuk ditelan, lebih-lebih lagi ia berlaku di negara kelahirannya sendiri.

Pelbagai bahasa asing selain Inggeris sudah ke hadapan

 

Perkembangan sains dan teknologi semasa telah meletakkan pelbagai bahasa asing seperti Jerman, Perancis, Jepun, Cina, Korea dan tidak ketinggalan bahasa Inggeris di mata dunia.

Hal ini berlaku kerana negara-negara tersebut juga adalah kuasa besar ekonomi dan pengeluar utama bagi pelbagai peralatan sains dan teknologi, perkakasan serta perisian komputer pada masa kini.

Dek kerana Malaysia masih lagi menjadi antara negara pengguna sains dan teknologi terbesar dunia, mahu tidak mahu kita terpaksa menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi dan perniagaan global.

 

Selain itu, tindakan sesetengah Universiti Awam (UA) mewajibkan urusan pengajaran dan pembelajaran dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris juga turut mencabar kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sekali gus menggugat kelestarian agenda memperkasakan bahasa Melayu.

Hal ini disebabkan oleh UA merupakan gedung ilmu sepatutnya menjalankan usaha yang lebih intensif untuk memantapkan dan memperluaskan pengembangan bahasa Melayu.

Ironinya, universiti-universiti luar negara seperti yang dibincangkan sebelum ini giat memartabatkan dan memperkembangkan bahasa Melayu melalui penubuhan-penubuhan Kursi Pengajian Melayu, akan tetapi sambutan UA tempatan adalah sebaliknya.

Dalam konteks ini, sepatutnya bahasa Melayu diletakkan mengatasi bahasa-bahasa lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Perkembangan teknologi komunikasi dan multimedia juga merupakan antara ranjau baharu dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Realiti menunjukkan anak-anak remaja merupakan pengguna tegar gajet pintar.

Anak-anak remaja ini yang terdiri daripada Generasi Z dan alpha yang seolah-olah dilahirkan kembar bersama gajet mampu melayan pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, YouTube, Twitter, WeChat, Snapchat, Facebook Messenger, LINE dan Instagram.

Perkembangan ini membawa kepada penggunaan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS) dan bahasa kolokial (bahasa percakapan/basahan) yang mengandungi pelbagai campuran bahasa, antaranya bahasa slanga, dialek dan bahasa pasar yang tidak terkawal.

 

Mitos bahasa

Adakah benar bahasa Melayu tidak boleh dibawa ke tengah, terutamanya dalam bidang ekonomi dan perniagaan?

Adakah benar juga hanya bahasa Inggeris mampu memajukan bangsa dan negara Malaysia? Jika kita benar-benar sayang akan lidah rasmi negara kita ini, mempunyai tekad seteguh karang di dasar lautan dan sudi belajar daripada orang lain, bahasa Melayu tidak mustahil kembali bersinar di persada antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Mengambil contoh rakan-rakan di sebelah timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan, didapati mereka masih berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta menghasilkan teknologi inovatif, kreatif serta saintifik melalui bahasa ibunda masing-masing.

Masyarakat negara Jepun juga menggunakan seratus peratus bahasa Jepun dalam semua bidang termasuk dalam sistem pendidikan mereka.

Di Quebec Kanada pula, bahasa Inggeris telah digantikan dengan bahasa Perancis yang mana bahasa ini telah dituturkan oleh 130 juta penutur di seluruh dunia.

Menyorot hakikat ini dengan mata hati dan fikiran yang terbuka, maka adalah tidak mustahil kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan dalam ekonomi dan perniagaan.

Sistem pendidikan negara dilihat sebagai agen penting dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Ini kerana pembangunan Negara amat berkait rapat dengan sistem pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah dan tinggi Ia seiring dengan usaha Kerajaan Malaysia yang menggarap konsep Keluarga Malaysia berdasarkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Kesemua teras ini jelas terkandung dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan menjadi pemangkin utama mewujudkan perpaduan di negara kita yang terdiri masyarakat pelbagai kaum.

Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam usaha kerajaan mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara. Bahasa Melayu mempunyai potensi atau kelebihan yang banyak untuk dimajukan sebagai bahasa pembangunan ekonomi negara.

 

Kedudukan bahasa Melayu

Bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan hakikatnya akan terpinggir jika usaha-usaha untuk memartabatkannya tidak dilaksanakan.

Pemartabatan bahasa Melayu dalam ekonomi dan perniagaan memerlukan beberapa strategi dan perencanaan semula serta pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya.

Satu bahasa akan berfungsi sebagai bahasa ilmiah jika ia diiringi oleh sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.

Ciri-ciri kesempurnaan ini sebenarnya telah ada dalam bahasa Melayu. Jika kita mampu meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi dalam kehidupan bermakna kita telah membuat suatu sumbangan yang besar untuk pembangunan ekonomi negara.

 

Penulis:

Dekan, UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB),

Universiti Kebangsaan Malaysia

(Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, Kementerian Pengajian Tinggi)

Berita Harian X