Rabu, 1 Jun 2022 | 2:59pm
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tiga kanan) bersama pemenang hadiah utama Kempen Ramadan Penuh Makna 2022 pada majlis pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulan (PZB) 2022 di Wisma PPZ, Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tiga kanan) bersama pemenang hadiah utama Kempen Ramadan Penuh Makna 2022 pada majlis pelancaran Kempen Skim Potongan Zakat Bulan (PZB) 2022 di Wisma PPZ, Kuala Lumpur. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

PPZ-MAIWP sasar kutip RM40 juta zakat potongan gaji

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan RM40 juta kutipan zakat menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman, berkata pihaknya juga menjangkakan seramai 5,000 pembayar zakat baharu dan yang akan menambah jumlah potongan zakat, menyertai skim yang bermula Jun ini sehingga Disember depan.

Katanya, kempen dengan tema 'Zakat Tanda Syukur' itu bertujuan menarik lebih ramai pekerja, terutama kakitangan kerajaan dan swasta di Wilayah Persekutuan menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji.

"Skim PZB adalah saluran bayaran zakat yang terbaik, khususnya buat kakitangan kerajaan dan swasta dalam memastikan bayaran zakat mereka konsisten dan selamat selain tidak membebankan pada setiap hujung bulan.

"Dengan bayaran zakat yang tetap daripada pembayar menerusi skim ini, ia sekali gus membantu kelangsungan hidup asnaf di Wilayah Persekutuan," katanya selepas merasmikan Skim PZB di Wisma PPZ, Taman Shamelin, di sini hari ini.

Menariknya kempen itu, katanya, ia turut menawarkan hadiah menarik termasuk pakej ziarah Al-Aqsa, motosikal, televisyen pintar, telekung, skuter elektrik, tablet, jam pintar serta baucar makanan dan barangan.

Beliau berkata, skim berkenaan turut membantu majikan mendapatkan wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan yang kurang berkemampuan.

"Tidak cukup dengan itu, pembayar zakat menerusi potongan gaji di PPZ-MAIWP juga dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian. Jika berlaku kematian kepada pembayar, waris boleh menuntut sehingga RM3,000 bagi mengurangkan beban," katanya.

Abdul Hakim berkata, Skim PZB pada tahun lalu berjaya menarik 4,214 pembayar zakat dengan jumlah kutipan sebanyak RM33.67 juta, meningkat kira-kira 123 peratus berbanding 2020 yang merekodkan kutipan RM15.3 juta dengan 4,697 pembayar zakat.

"Dari Januari hingga Mei 2022, terdapat seramai 117,040 pembayar zakat yang membuat pemotongan gaji terdiri daripada kakitangan swasta dan kerajaan. Jumlah itu meningkat daripada seramai 115,981 pembayar zakat berbanding tempoh sama pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini, PPZ-MAIWP turut menyasarkan keseluruhan kutipan zakat sebanyak RM900 juta daripada seramai 378,000 pembayar zakat.

Katanya, dari Januari hingga Mei lalu, prestasi keseluruhan zakat daripada seramai 298,175 pembayar adalah sebanyak RM362 juta berbanding RM339 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pada majlis sama, Abdul Hakim turut menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang Kempen Ramadan Penuh Makna 2022 yang diadakan sepanjang bulan puasa lalu.

Anith Ashiqin Mohammad menjadi pemenang baucar percutian bernilai RM3,000, manakala Nur Rashidah Ismail turut menang baucar percutian bernilai RM4,000. Hadiah platinum, iaitu pakej umrah bernilai RM7,000 dimenangi Muhammad Ikhbar Mazlan.

Berita Harian X