Selasa, 31 Mei 2022 | 6:32pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

KKM rancang masukkan data imunisasi kebangsaan dalam MySejahtera

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk memperluaskan fungsi MySejahtera dengan merangkumkan data program imunisasi kebangsaan membabitkan kanak-kanak ke dalam aplikasi itu.

Selain itu, KKM juga mahu menggunakan aplikasi itu dalam pelaksanaan inisiatif Saringan Kesihatan Nasional untuk menguruskan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia adalah sebahagian usaha untuk memastikan perubahan sikap masyarakat sejak dua tahun lalu yang kini lebih peka kesihatan, dapat diteruskan pasca pandemik COVID-19.

"Antara cadangan kami adalah memastikan apa yang sedia ada boleh didigitalkan. Kita kini ada sijil digital vaksinasindalam MySejahtera.

"Jadi, kenapa tidak kita pindahkan rekod imunisasi kanak-kanak ke dalam aplikasi ini? Ia memudahkan dan kita akan dapat membabitkan sekelompok generasi yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel untuk sesi bertajuk 'Penelitian Semula Penjagaan Kesihatan Dalam Landskap Digital' dalam Persidangan Teknologi Asia 2022 (ATxSummit) di Singapura, hari ini.

Selain Khairy, individu yang turut menjadi ahli panel adalah Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung; Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Ping An, Jessica Tan dan Ketua Pegawai Kewangan Doctor Anywhere, Edwin Basuki.

Mengulas lanjut, Khairy berpandangan, MySejahtera juga boleh digunakan bagi membantu negara mengatasi NCD, yang menjadi beban penyakit terbesar di Malaysia untuk sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.

Bagi tujuan itu, beliau berhasrat menggunakan aplikasi itu sebagai sebahagian daripada inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang bakal dilancarkan Julai depan.

"Antara cabaran terbesar bagi kebanyakan menteri kesihatan di seluruh dunia, adalah ramai individu yang tidak lagi melakukan saringan kesihatan sejak dua tahun lalu.

"Jadi, kita perlu fikirkan kaedah menggalakkan masyarakat untuk membuat janji temu saringan kesihatan, dan menyimpan data perubatan tertentu dalam aplikasi ini," katanya.

Khairy mengakui faktor kepercayaan pengguna pada aplikasi itu adalah amat penting dalam merealisasikan inisiatif berkenaan, seperti mana ketika pandemik berlaku.

"Ketika COVID-19, MySejahtera merekodkan daftar masuk terkumpul sebanyak 16 bilion, dua bilion borang penilaian kesihatan yang diisi individu yang positif COVID-19, serta 18 juta Perintah Pemantauan di Rumah (HSO) dikeluarkan.

"Ketika kemuncak penggunaan aplikasi ini, kita merekodkan 38 juta daftar masuk sehari, dan 600,000 borang penilaian kesihatan yang diisi dalam sehari.

"Jadi, bagaimana mahu kita kekalkan sikap peka kesihatan ini yang dilakukan ketika COVID-19, di mana ancamannya jelas dan nyata, untuk digunakan ketika pasca COVID-19? Isu kepercayaan amat penting di sini," katanya.

Berita Harian X