Selasa, 31 Mei 2022 | 4:02pm
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim

'Nak jadi hero jangan sampai hina, perlekeh bahasa Melayu'

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin politik negara, dinasihatkan untuk tidak tunjuk 'hero' atau bersikap seperti kacang lupakan kulit dengan menghina dan memperlekehkan usaha serta perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik, ilmu atau komersial.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, menegaskan bahawa tidak ada negara di dunia ini yang akan jatuh dalam memperjuangkan bahasa kebangsaannya.

Katanya, namun sesebuah negara itu boleh jatuh jika kleptokrat terus berkuasa.

"Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.

"Lihat negara lain seperti Korea, Jepun dan Russia. Betapa jauhnya mereka ke hadapan walaupun menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing. Jadi apa salahnya jika bahasa Melayu digunakan dalam semua perkara termasuk komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan dan sains.

"Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. Komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan seorang bekas pemimpin negara yang membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam, termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.

Bekas Menteri itu menyuarakan kerajaan sepatutnya meningkatkan tahap kemahiran kakitangan awam dalam penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang berkaitan.

Rais menegaskan bahawa kepimpinan dahulu atau bekas menteri yang telah hilang punca mengenai pusaka bangsa seharusnya tidak dijadikan ikutan.

"Ya, bahasa Inggeris boleh digunakan seperti biasa tetapi bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Demi Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan, ia wajib diberi ruang dan telapaknya sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomatik, bahasa komersial dan bahasa sains teknologi.

"Bagi yang tidak senang dengan apa yang hakiki bagi bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu.

"Soal bahasa kebangsaan yakni bahasa ilmu termasuk bahasa diplomatik atau komersial tidak harus dipertikaikan dalam perjuangan bahasa itu demi negara," katanya.

Berita Harian X