Isnin, 30 Mei 2022 | 6:27pm
Rina bersama Bella. - Foto Facebook Rina Mohd Harun
Rina bersama Bella. - Foto Facebook Rina Mohd Harun

Harap kes Bella dibicara seadilnya - Rina

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berharap kes remaja

Sindrom Down, Bella dibicarakan seadilnya.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa juga berharap semua saksi kes itu dapat memberikan keterangan yang benar supaya keadilan dapat ditegakkan.

"Doa saya semoga kes ini dapat dibicarakan seadilnya dan setiap saksi dapat memberikan keterangan yang benar supaya keadilan dapat kita tegakkan.

"Saya faham ramai di luar sana sayangkan Bella. Untuk itu, usah sebar maklumat kurang tepat berkaitan kes adik Bella dan teruskan menghormati prosiding sedang berlangsung di mahkamah," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Khamis lalu, kumpulan peguam pemerhati kepada Bella dilaporkan berharap keseluruhan proses dan prosiding perbicaraan kes terhadap remaja Sindrom Down itu dapat dipercepatkan demi menjaga kepentingan remaja berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seramai empat peguam pemerhati yang dicadangkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 17 April lalu, Tunku Ismail menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes penderaan remaja terbabit.

Dalam pertemuan itu, baginda mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan bagi memastikan kes membabitkan Bella tidak berulang, termasuk penambahbaikan undang-undang semasa seperti Akta Kanak-Kanak 2001 yang perlu dilakukan segera.

Kisah Bella didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, yang kini sedang dibicarakan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Rina berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan Bella dengan memastikan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan sokongan psikososial kepada remaja itu dan rakannya bagi mengembalikan semangat dan keceriaan mereka.

"Perbicaraan kes membabitkan anak istimewa kesayangan kita semua, adik Bella bersambung hari ini.

"Alhamdulillah, Bella dan rakan berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani proses pemulihan dan kaunseling di institusi kanak-kanak di bawah kendalian JKM.

"Sepanjang perbicaraan kes adik Bella, pegawai JKM yang ditugaskan ke mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes turut mengemukakan laporan kepada saya," katanya.

Berita Harian X