Ahad, 29 Mei 2022 | 10:33pm
CALON Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
CALON Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

'Tahniah Rafizi' - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Biarpun keputusan rasmi belum diumumkan, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, merakamkan ucapan tahniah kepada pesaingnya, Rafizi Ramli yang kini mendahului bagi merebut jawatan terbabit.

Setiausaha Agung PKR itu turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang bertanding pada pemilihan parti kali ini.

"Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) sudah memaparkan keputusan pemilihan pada hari ini.

"Biarpun belum dikira keputusan rasmi, saya telah mengutus ucapan tahniah kepada Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad (calon Naib Presiden), Chang Li Kang (calon Naib Presiden) dan lain-lain pemenang.

"Syabas juga diucapkan kepada semua yang terpilih sebagai Ketua Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita Cabang dan Jawatankuasa," katanya menerusi Facebook, malam ini.

Saifuddin Nasution yang juga Ahli Palimen Kulim Bandar Baharu menegaskan, sikapnya mudah dan jelas serta menghormati keputusan yang dibuat anggota parti.

Jelasnya, amalan demokrasi sudah menentukan bahawa ada pemimpin yang terpilih dan sebaliknya dalam pemilihan parti kali ini.

"Jangan sesekali carikkan silaturrahim. Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-Allah KEADILAN (PKR) akan terus kuat.

"Tugas saya masih tertumpu kepada penganjuran Kongres Nasional pada Jun ini. Kongres masih perlu berlangsung dengan tertib dan mengikut peraturan sesuai Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Katanya, kira-kira 3,000 perwakilan akan memilih 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mempunyai barisan kepemimpinan yang lengkap.

"Tugas saya bernoktah di situ. Tugas seterusnya...kepemimpinan baharu mempersiapkan parti untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Syabas dan tahniah kepada semua," katanya.

Setakat jam 9 malam ini, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan mendapat undi terkumpul sebanyak 66,359 selepas menang di Selangor, Melaka, Kelantan, Johor, Pahang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Beliau turut menang di Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Saifuddin Nasution pula memperoleh sebanyak 47,986 undi dan berhasil menguasai Sabah dan Perlis.

Dalam pemilihan kali ini, mana-mana calon yang melepasi jumlah 73,667 daripada 147,334 undi atau melepasi 50 peratus khususnya bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, boleh dianggap menang dalam pemilihan kali ini.

Berita Harian X