Ahad, 29 Mei 2022 | 1:33pm

Polis segerakan kertas siasatan kes duta, anak tanam ganja

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan bagi kes bekas duta Malaysia ke Indonesia yang ditahan bersama anak lelakinya kerana didakwa menanam pokok ganja di Janda Baik, Pahang akan disiapkan segera sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kertas siasatan itu akan disiapkan secepat mungkin berikutan kes terbabit menarik perhatian ramai.

"Kita sedang lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin dan akan menyerahkan ke AGC dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan menunggu arahan selanjutnya selepas ia diserahkan ke AGC," katanya pada sidang media rampasan narkotik di Bukit Aman, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM 26.6 juta di Bukit Aman hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas duta bergelar Datuk diberkas polis selepas disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja membabitkan hampir 100 batang pokok terlarang itu.

Dia direman hingga 28 Mei dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bekas duta ke Indonesia dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan reman kali kedua terhadap bekas diplomat berkenaan daripada Mahkamah Majistret Bentong.

Muhammad Shafee turut memaklumkan polis memohon reman kedua selama tujuh hari namun tidak dibenarkan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas beliau berpuas hati, antara lain tiada bukti untuk mengaitkan individu berkenaan dengan apa-apa kesalahan.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, polis juga berusaha untuk menyambung reman kedua-dua suspek namun keputusan itu bergantung kepada keputusan mahkamah.

"Semalam polis cuba memohon untuk menyambung reman suspek berusia 78 tahun itu namun ditolak mahkamah. Bagaimanapun seorang lagi (anak) masih dalam tahanan reman dan polis akan memohon untuk menyambung remannya kerana akan tamat esok," katanya.

Foto yang dirakam polis menunjukkan lokasi pokok ganja yang dipercayai ditanam oleh bekas duta bersama anak lelakinya sekitar rumah di Janda Baik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang pada 24 Mei lalu. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad

Berita Harian X