Ahad, 29 Mei 2022 | 1:02pm

Polis rampas dadah RM26 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merampas sejumlah pil dan serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM26.5 juta selepas menyerbu dua unit kondominium mewah di sekitar ibu negara, Khamis lalu.

Turut ditahan dalam empat serbuan itu adalah seorang lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga China, berusia antara 48 hingga 56 tahun.

Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata polis mendapat maklumat kondominium mewah itu dijadikan tempat memproses dan penyimpanan dadah sebelum ia dipasarkan ke seluruh ibu negara.

Katanya, sindiket berkenaan sengaja menjadikan kondominium mewah yang sukar untuk dimasuki orang luar itu sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.

"Kondominium itu disewa dengan harga RM2,500 sebulan dan pihak polis sendiri sukar memasuki kawasan berkenaan kerana pengawalan keselamatan yang ketat.

"Kita melakukan empat serbuan dalam operasi itu namun dua unit dikesan menjadi markas pemprosesan dadah termasuk sebuah unit untuk tujuan penyimpanan dadah jenis ecstasy itu," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob berkata lelaki tempatan ituy dipercayai dalang utama kegiatan itu dan bertanggungjawab mengajar wanita dari negara China itu untuk memproses dan membungkus dadah.

"Salah seorang daripada wanita itu adalah teman wanita suspek dan dia diajar menguruskan dadah yang diproses itu. Setiap bahan untuk menghasilkan dadah dibeli daripada pasaran tempatan dan kemungkinan dia sendiri belajar memproses dadah dari internet," katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak penghujung tahun 2021 dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 880,967 orang penagih dadah.

Ayob berkata polis setakat ini menyita pelbagai aset sindiket termasuklah dua kenderaan (RM115,000), wang tunai RM3, 000, jam tangan (RM2,000) dan barang kemas (RM2,000)

"Kesemua aset yang disita itu bernilai RM122,000 dan keseluruhan rampasan dadah adalah berjumlah RM26,622,000," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin menunjukkan sebahagian daripada rampasan ketika sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM 26.6 juta di Bukit Aman - Foto NSTP/Izairi Shamsudin
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin menunjukkan sebahagian daripada rampasan ketika sidang media mengenai rampasan dadah bernilai RM 26.6 juta di Bukit Aman - Foto NSTP/Izairi Shamsudin
Berita Harian X