Sabtu, 28 Mei 2022 | 2:15pm
Ismail Sabri pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Tokyo di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.
Ismail Sabri pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Tokyo di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.

Sidang khas ASEAN-Jepun bincang isu serantau, antarabangsa

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Sidang Kemuncak Jepun-ASEAN khas akan diadakan bagi membincangkan dengan mendalam isu serantau dan antarabangsa.

Katanya, beliau mencadangkan sidang khas itu kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida dalam pertemuan mereka di Tokyo semalam, bahawa Jepun perlu membuat libat urus bukan dengan Malaysia sahaja, tetapi ASEAN, dan Kishida bersetuju untuk mengadakannya tahun depan.

"ASEAN, biasanya pendirian ASEAN, bukan pendirian negara secara berasingan," katanya kepada wartawan Malaysia di Tokyo hari ini, di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.

Ismail Sabri berkata, beliau juga menyatakan kepada Kishida bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatannya di Laut China Selatan.

Beliau berkata, dalam mengendalikan isu Laut China Selatan yang kompleks dan membabitkan hubungan antara negara, semua negara berkaitan perlu kekal komited dalam mengekalkan Laut China Selatan sebagai perairan yang bebas untuk pelayaran.

Katanya, tindakan yang diambil Malaysia apabila ada isu pencerobohan di Laut China Selatan adalah dalam bentuk bantahan dan rundingan dengan pihak terbabit.

"Bila ada isu berkaitan, kita selesaikan dengan perundingan," katanya.

Berhubung konflik Russia-Ukraine, Ismail Sabri memaklumkan kepada Kishida bahawa Malaysia tidak menyokong sebarang pelanggaran prinsip asas seperti kedaulatan serta keutuhan wilayah setiap negara, dan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia juga bimbang mengenai kesan konflik itu termasuk yang dialami oleh negara yang tidak terbabit secara langsung dalam konflik berkenaan, seperti kesan ke atas aspek jaminan bekalan makanan. – BERNAMA

Berita Harian X