Sabtu, 28 Mei 2022 | 1:40pm
Ismail Sabri (kiri) bersama Kishida (kanan) menyaksikan Pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) di antara Saravanan (dua, kiri) dan Yoshihisa (dua, kanan) di Pejabat Perdana Menteri Jepun. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) bersama Kishida (kanan) menyaksikan Pertukaran Memorandum Kerjasama (MoC) di antara Saravanan (dua, kiri) dan Yoshihisa (dua, kanan) di Pejabat Perdana Menteri Jepun. - Foto Bernama

Jawatankuasa bersama diwujudkan laksana penghantaran pekerja mahir Malaysia ke Jepun

PUTRAJAYA: Satu jawatankuasa bersama akan diwujudkan untuk melaksanakan Memorandum Kerjasama (MoC) bagi penghantaran pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

MoC itu telah dimuktamadkan Saravanan dengan Menteri Kehakiman Jepun Yoshihisa Furukawa kelmarin dan pertukaran dokumen MoC telah disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, semalam.

Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Sumber Manusia akan menerajui jawatankuasa bersama yang diwujudkan itu bagi pihak Malaysia.

"MoC ini akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi maju di Jepun," katanya.

Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, beliau berkata pekerja Malaysia berpeluang meneroka pelbagai cabang teknologi yang menjadi nadi utama kemajuan sektor industri di Jepun.

"Pekerja Malaysia seterusnya berupaya membawa pulang kemahiran yang dipelajari serta budaya kerja masyarakat Jepun ke Malaysia selepas tamat tempoh pekerjaan mereka di sana," katanya.

Beliau berkata, Jepun dikenal pasti sebagai sebuah negara yang menawarkan kadar upah tinggi kepada pekerja berkemahiran.

"Oleh itu, pekerja mahir Malaysia yang menyertai program ini berupaya menjana pendapatan yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

"Malah, pengalaman kerja di Jepun juga mampu meningkatkan kebolehpasaran guna tenaga Malaysia," katanya.

Menurut Saravanan, pemeteraian MoC itu juga akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sumber bagi membekalkan pekerja berkemahiran ke negara-negara maju.

"Bagaimanapun, pekerja berkemahiran tempatan hanya akan bekerja di Jepun untuk tempoh masa tertentu sebelum mereka kembali ke Malaysia dengan kemahiran serta pengalaman yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan negara kelak," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X