Jumaat, 27 Mei 2022 | 3:53pm

MAFI mahu perkasa keluaran pertanian tempatan

PASIR SALAK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu memperkasakan keluaran pertanian tempatan dalam mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata inisiatif itu bukan saja dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import, malah dapat meningkatkan produktiviti dalam negara.

Ia juga, katanya, selaras dengan pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

"Banyak input pertanian yang (harga) terlalu meningkat berkali dalam tempoh setahun dua ini. Jadi kita sedang melihat apa saja keluaran tempatan yang boleh bantu untuk mengurangkan import (hasil) pertanian," katanya.

Beliau yang ditemui pada sidang media Program Pembangunan EkonomiKomuniti dan Sambutan Aidilfitri Igrow di Kompleks Desa Warisan Igrow, Pulau Tiga di Kampung Gajah, hari ini, mengulas usaha kementerian untuk merancakkan industri pertanian susulan krisis bekalan makanan global.

Haslina berkata, usaha ke arah itu juga dilihat digerakkan oleh usahawan tempatan apabila ada yang cuba menghasilkan makanan ternakan serta terbabit dalam secara keseluruhan dari awal pemprosesan input pertanian dan pembekalan.

"Kita mahu memperkasakan ekosistem dan pertanian sebab pertanian membabitkan tiga sektor utama, iaitu tanaman, penternakan dan juga perikanan. Kita lihat di kampung ini (Kampung Gajah) semua ada, ikan sangkar, tanaman dan penternakan serta pelbagai produk. Ini kita mahu perkasakan," katanya.

Beliau tidak menafikan krisis bekalan makanan adalah keadana yang mencabar di seluruh dunia, namun kerajaan perlu memastikan bekalan makanan mencukupi dan harganya tidak membebankan rakyat.

"Justeru MAFI juga mengalu-alukan sebarang inisiatif yang dapat membantu dalam menyediakan bekalan makanan kepada rakyat," katanya.

Haslina (dua dari kiri) melawat gerai produk tempatan pada Program Pembangunan Ekonomi Komuniti dan Sambutan Aidilfitri Igrow, Kompleks Desa Warisan Igrow, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Haslina (dua dari kiri) melawat gerai produk tempatan pada Program Pembangunan Ekonomi Komuniti dan Sambutan Aidilfitri Igrow, Kompleks Desa Warisan Igrow, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini. - NSTP/NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Berita Harian X