Rabu, 25 Mei 2022 | 3:01pm
Anggota polis dan DBKL bersihkan longkang tersumbat bagi melancarkan aliran air longkang tersumbat di Jalan Ampang. - Foto PDRM
Anggota polis dan DBKL bersihkan longkang tersumbat bagi melancarkan aliran air longkang tersumbat di Jalan Ampang. - Foto PDRM

Anggota polis, DBKL bersihkan longkang tersumbat

KUALA LUMPUR: Anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan saja mengawal lalu lintas tetapi turut membersihkan longkang tersumbat bagi melancarkan aliran air yang tersumbat di beberapa laluan di bandar raya ini berikutan hujan lebat pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata seramai 60 pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur, berada di lokasi dinaiki air berikutan hujan lebat sejak jam 11 pagi hingga jam 1 tengah hari tadi.

"Di Jalam Ampang berhampiran pusat beli belah KLCC, hujan lebat menyebabkan banjir kilat selama 30 minit apabila saluran longkang tersumbat.

"Anggota JSPT bersama petugas DBKL di kawasan berkenaan berusaha mencari lubang yang tersekat dengan batu dan objek keras sebelum mengorek sekali gus membolehkan air keluar dengan lancar," katanya kepada BH, hari ini.

Anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan petugas DBKL bukan saja mengawal lalu lintas di beberapa laluan di bandar raya ini berikutan hujan lebat pagi tadi. - Foto PDRM
Anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan petugas DBKL bukan saja mengawal lalu lintas di beberapa laluan di bandar raya ini berikutan hujan lebat pagi tadi. - Foto PDRM

Sarifudin berkata, antara laluan yang dinaiki air disebabkan saluran air tersumbat adalah di Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi.

"Pegawai dan anggota kita sedaya upaya mengorek lubang yang tersumbat untuk melancarkan laluan air untuk membolehkan setiap laluan berkenaan digunakan kembali seperti biasa.

"Berdasarkan pemantauan kita mendapati air naik sehingga dua kaki namun keadaan kini terkawal," katanya.

Beliau berkata, apa yang paling utama adalah keselamatan setiap pengguna jalan raya dan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

JSPT turut mengawasi lokasi-lokasi lain yang turut dinaiki air seperti Jalan Duta Mas 2; Jalan Ipoh, Chow Kit dan lorong Balai Putra menuju ke Jalan Sultan Azlan Shah.

Semua pegawai dan anggota JSPT sentiasa berada dalam keadaan bersiap-sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya ketika hujan lebat dan waktu puncak.

Sehingga jam 1 tengah hari tadi keadaan banjir dilaporkan terkawal.

Berita Harian X