Selasa, 24 Mei 2022 | 6:51pm
Mohd Zuki (kiri) menunjukkan resolusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabngsa selepas menerimanya daripada Pengarah Program, Dr. Kamarul Zaman Yusoff (kanan), hari ini. - NSTP/OWEE AH CHUN
Mohd Zuki (kiri) menunjukkan resolusi Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabngsa selepas menerimanya daripada Pengarah Program, Dr. Kamarul Zaman Yusoff (kanan), hari ini. - NSTP/OWEE AH CHUN

KSN minta JPA teliti tindakan pihak ingkar guna bahasa kebangsaan

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan itu.

Katanya, tindakan korektif dan punitif, selain teguran berdasarkan audit bahasa itu bukan bertujuan menakut-nakutkan, sebaliknya bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, ia juga selaras amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diperkasa bagi membolehkan aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan usaha pemartabatan bahasa Melayu dikaji dan diteliti untuk dilaksanakan.

"Akta, pekeliling atau peraturan sedia ada, tidak memperuntukkan bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan berkaitan penggunaan bahasa ini," katanya.

Mohd Zuki berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu: Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa di Wisma DBP, di sini hari ini.

Beliau juga mengingatkan setiap jabatan kerajaan di semua peringkat memastikan segala arahan dan peraturan terkandung dalam Perlembagaan, undang-undang negeri dan pekeliling berkaitan bahasa Melayu sentiasa dipatuhi.

Katanya, ia membabitkan setiap jabatan kerajaan, sama ada persekutuan atau negeri, termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah.

"Ada peraturan berkaitan pengiklanan yang memperuntukkan ketetapan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di tempat awam, hendaklah dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan lebih tegas.

"Begitu juga dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat jaminan kerajaan (CLBG), mereka hendaklah memastikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sentiasa diperteguhkan," katanya.

Katanya, kerajaan akan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa bagi menegaskan komitmen dalam memastikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam sentiasa di tahap terbaik.

Beliau berkata, ia sekali gus akan melipatgandakan usaha menjadikan teladan pengguna bahasa kebangsaan yang baik dan betul serta memberi impak positif kepada sektor lain dalam negara untuk turut berasa bangga dengan bahasa kebangsaan.

"Lantas mereka tidak berasa rendah diri akan kemampuan berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu serta bahasa pengintegrasian masyarakat majmuk progresif dan berjaya.

"Antara program masa kini akan dipergiat dan ditambah baik dari semasa ke semasa ialah audit bahasa di jabatan kerajaan dan badan berkanun serta program Munsyi Muda Bahasa yang akan berperanan sebagai pegawai rujukan bahasa di setiap jabatan kerajaan Persekutuan seluruh negara," katanya.

Mengenai usaha memperhebat peluasan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Mohd Zuki mencadangkan institusi pengajian tinggi dan badan berautoriti mengambil inisiatif melaksanakan semula Kursi Pengajian Melayu di universiti dan institusi pengajian tinggi di benua terpilih.

"Selain itu, menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu di institusi tertentu yang memerlukan khidmat demikian di serata dunia serta meluaskan fungsi pejabat kedutaan Malaysia di seluruh dunia untuk memainkan peranan dalam mengantarabangsakan bahasa Melayu.

"Ini termasuk mengadakan pelbagai kursus bahasa dan budaya Malaysia, baik untuk penutur asing mahupun rakyat Malaysia yang berada di luar negara," katanya.

Mengulas isu berkaitan kesedaran rakyat mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul, beliau berkata, penyalahgunaan bahasa begitu meruncing akibat ledakan teknologi digital, percampuran bahasa atau yang diistilahkan sebagai 'rojak' oleh golongan muda.

"Selain itu, stigma atau pandangan mengenai nama produk atau jenama akan tampak lebih moden dan menyakinkan sekiranya disadur dengan bahasa Inggeris, namun hakikatnya adalah sebaliknya. Bahasa Melayu sebenarnya mempunyai keunikan dan dinamikanya tersendiri.

"Keupayaannya sejak berzaman menjadi bahasa pengantara kepada perdagangan, bahasa diplomasi antara benua serta bahasa ilmu dalam menyalurkan risalah dakwah di seluruh dunia cukup membuktikan bahasa Melayu harus diangkat dan dimartabatkan dengan lebih tinggi dan meluas di negara kita dan peringkat antarabangsa," katanya.

Berita Harian X