Selasa, 24 Mei 2022 | 2:20pm
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Pembangunan (Sabah), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, pada Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto OWEE AH CHUN
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Pembangunan (Sabah), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, pada Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto OWEE AH CHUN

'Perlu ambil kira permintaan BM di peringkat global'

KUALA LUMPUR: Strategi pengantarabangsaan bahasa Melayu memerlukan transformasi secara menyeluruh dengan memastikan wujudnya keseimbangan di antara dua konteks penting iaitu penawaran dan permintaannya di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Pembangunan (Sabah), Prof Madya Dr Ramzah Dambul, berkata agenda menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dan pengantarabangsaan tidak akan tercapai selagi strategi sedia ada tertumpu kepada aspek penawaran semata-mata.

"Kita ingin tawarkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, pertama sekali (yang perlu dikenal pasti), adakah sudah diwujudkan permintaan itu, iaitu situasi masyarakat antarabangsa memerlukannya.

"Jika tidak ada permintaan tetapi kita terus menggerakkan strategi penawaran, akhirnya pasti usaha ini tidak akan bergerak jauh," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada sidang ke-12 Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang menampilkan tajuk Pengajian Melayu Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Katanya, strategi sedemikian disifatkan sebagai tidak lestari apatah lagi jika diteruskan dalam jangka masa panjang.

"Apabila kita tawarkan bahasa Melayu sebagai produk antarabangsa, bermakna kita mahu ia diterima di peringkat antarabangsa. Jadi, tentunya mesti ada permintaan dan keperluan dan aspek ini tidak boleh diabaikan. Sebagai contoh jika kita nak promosikan ubi kayu sebagai makanan antarabangsa, kena kenal pasti penggemar kepada makanan ini, barulah ia boleh diterima secara meluas.

"Strategi ini juga penting kerana kita mempunyai kekangan daripada aspek dana untuk pengembangannya. Kita banyak menggunakan konsep penawaran contohnya pergi ke sana sini untuk buka Kursi Pengajian BahasaMelayu dengan harapan akhirnya akan wujud permintaan itu.

"Namun, seperti saya tegaskan, jika tak diwujudkan permintaan dahulu, situasi tentunya menjadi sukar," katanya.

Mengulas lanjut, Ramzah turut menegur supaya semua pihak yang terbabit dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu tidak lagi terbuai dengan 'nostalgia' bahawa bahasa Melayu sebagai 'lingua franca'.

Sebaliknya, beliau menggesa supaya pendukung dan pejuang bahasa Melayu di negara ini melihat kepada realiti sebenar supaya strategi yang lebih ampuh, baharu dan selari dengan situasi hari ini dapat dilaksanakan.

"Kita sering bermain dengan nostalgia terutama mengenai bahasa Melayu sebagai 'lingua franca'. Dulu ia mendapat jolokan sedemikian kerana dunia melihat keperluan bahasa Melayu khususnya sebagai bahasa perdagangan. Jadi ada keperluan yang penting dalam konteks itu," katanya dasar dan insiaitif pengantarabangsaan bahasa Melayu perlu berubah dengan mencipta lebih banyak permintaan yang meyakinkan.

Mengupas antara strategi penting dalam mengatarabangsakan bahasa Melayu, Ramzah berkata, satu daripadanya dengan memperkukuh korpus ilmu dengan penulisannya dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, perkara ini tidak sukar untuk dilakukan kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kearifan tempatan dan biodiversiti khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kita ada korpus ilmu yang unik. Saya sarankan fokus diberi kepada Borneo kerana ada begitu banyak (perkara) yang belum diteroka berbanding di Semenanjung yang persuratannya berkembang lebih awal sekali gus sosio budayanya telah diarus perdanakan (lebih awal)," katanya.

Berita Harian X