Isnin, 23 Mei 2022 | 8:42pm

Op Tapis diteruskan, bantu kenal pasti dalang sindiket dadah

PASIR MAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan operasi dan siasatan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket pengedaran dadah antarabangsa menerusi beberapa siri Op Tapis yang akan diteruskan lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sehingga kini terdapat 2,100 tokan dadah yang dianggap 'tokan pertengahan' berjaya ditangkap dan polis akan meneruskan siasatan bagi menahan dalang sebenar kegiatan itu.

"Kita tidak menafikan kegiatan pengedaran dadah di negara ini mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa seperti di Kelantan, kebanyakan dadah dibawa masuk dari negara jiran," katanya selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan meninjau operasi pintu masuk di Malaysia-Thailand, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau meninjau laluan tikus di sepanjang Sungai Golok bermula di Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Kubang Pak Hitam, Pasir Mas bersama Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Mohd Nasir Deraman.

Ayob Khan berkata, daripada 175 pangkalan haram di Kelantan, 135 daripadanya aktif digunakan penyeludup untuk kegiatan penyeludupan dan sepanjang tahun lalu, pihak berkuasa merampas 2,219 kilogram (kg) syabu; ganja (1,063kg); pil kuda (1.6 juta pil); heroin (100kg) dan ketamin (44kg) yang cuba diseludup di laluan kecil serta pangkalan haram di kawasan berkenaan. – BERNAMA

Ayob Khan (tengah) meninjau operasi pintu masuk di Malaysia dan Thailand di Kompleks ICQS Rantau Panjang hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ayob Khan (tengah) meninjau operasi pintu masuk di Malaysia dan Thailand di Kompleks ICQS Rantau Panjang hari ini. NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X