Isnin, 23 Mei 2022 | 7:28pm
Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail
Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail

Dasar di IPT bantutkan pengembangan bahasa Melayu dalam teknologi

KUALA LUMPUR: Dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi yang kerap diubah, dengan tumpuan utama diberikan kepada bahasa Inggeris dilihat antara faktor yang menyekat perkembangan bahasa kebangsaan.

Pemegang Kursi Ibnu Sina, Kursi Bidang Perubatan di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail, berkata sepatutnya dasar penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (ST) perlu konsisten dan ada kesinambungan, bukan ditukar sesuka hati.

Katanya, ia perlu dilaksanakan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan atau 'whole government approach' supaya setiap kementerian ada hala tuju yang sama.

"Pada 1990 hingga 2000, dasar liberalisasi pendidikan dalam era globalisasi menekankan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di kolej dan universiti, sementara Akta Pendidikan 1996, Akta 550, Seksyen 17 memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk mengecualikan mana-mana institusi pendidikan daripada menggunakan bahasa pengantar sebagai bahasa Melayu.

"Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta, yang diluluskan oleh Parlimen membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan dengan kelulusan Menteri Pendidikan atau Pelajaran. Akta ini telah melahirkan lebih 300,000 pelajar yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris dalam pengajian," katanya membentangkan kertas kerja bertajuk Lanskap Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Dalam Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekali lagi dasar diubah pada 2003 dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains di semua sekolah di seluruh negara.

"Atas dasar subjek matematik dan sains sebagai asas bagi semua kursus dalam bidang sains dan teknologi, ia membawa kepada implikasi bahawa semua pengajian di dalam sains dan teknologi di semua institusi pengajian tinggi (IPT) boleh dilaksanakan dalam bahasa Inggeris. Ini sekali gus menyebabkan semua usaha sebelumnya dilaksanakan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terbantut," katanya.

Asma turut memaklumkan, mengikut data dikeluarkan Akademi Sains Malaysia, daripada sejumlah 368,000 penerbitan khazanah ilmu dalam STI sejak 2010, bahan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu merekodkan peratusan yang kecil.

"Penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan makalah mengikut institusi pengajian tinggi awam, yang paling tinggi adalah yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sebanyak 503 penerbitan.

"Ini diikuti beberapa universiti lain seperti Universiti Malaya dengan 57 penerbitan dan Universiti Putra Malaysia, sebanyak 43 penerbitan. Namun, jumlahnya agak rendah berbanding dengan penerbitan keseluruhan dilakukan penyelidik di Malaysia," katanya.

Justeru, katanya, bagi mempercepat dan memperbanyakkan khazanah ilmu dalam bidang STI, perlu diwujudkan kerjasama strategik secara konsortium di peringkat tempatan dan antarabangsa, selain menyarankan supaya kamus istilah bagi sains dan teknologi dalam talian sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

Berita Harian X