Isnin, 23 Mei 2022 | 4:05pm
Cowell membentangkan kertas kerja bertemakan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Cowell membentangkan kertas kerja bertemakan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

AS kaji bahasa Melayu sejak Perang Dunia Kedua

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mula memberi perhatian kepada kajian bahasa bukan Eropah, sejak perang dunia kedua.

Profesor Bahasa Arab dan Kesusasteraan Universiti Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS), Prof Emeritus Dr Dustin Cowell, berkata ini berikutan negara itu memulakan usaha mendidik rakyatnya dalam bahasa kritikal seperti bahasa Arab, Cina, Jepun dan Melayu yang bermula 1940-an.

"Misalnya Senator J Willian Fullbright mengemuka rang undang-undang di Kongres pada 1946 bagi menyediakan pembiayaan program antarabangsa yang disebut hingga ke hari ini, iaitu Program 'Fullbright'.

"Ia kemudiannya diperluas dengan penggubalan Akta Fullbright-Hays 1946 yang secara rasmi dikenali Akta Pertukaran Pendidikan dan Kebudayaan Bersama 1961.

"Program antarabangsa itu di bawah naungan akta itu berkembang pada 1960-an dengan sejumlah pusat sumber negara atau pengajian wilayah ditubuhkan bagi menggalakkan warga Amerika mempelajari bahasa terkemuka di wilayah tertentu, selain mendalami budaya dengan mendalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja berhubung perkembangan pengajian bahasa Melayu di AS pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Cowell berkata, langkah besar turut dibuat Amerika utara yang melaksanakan pendekatan baharu untuk pengajaran bahasa Melayu yang mula diamalkan pada 1960-an.

"Pendekatan pedogogi tradisional digunakan dari sejak sebelum 1940-an hingga 1950-an yang biasa memberi tumpuan kepada kajian tatabahasa, perolehan kosa kata dan pembangunan kemahiran membaca dan menterjemah.

"Tetapi dengan pendekatan baharu, penekanan yang lebih diberikan kepada pembangunan kedua-dua kemahiran komunikasi benar-benar aktif, iaitu kemahiran bertutur dan menulis," katanya.

Bermula 1980-an, beliau berkata, kerajaan terbabit mula memberikan penekanan kepada pengetahuan budaya berkaitan dengan wilayah bahasa yang dipelajari itu dituturkan.

"Kesimpulannya, pengajaran bahasa Melayu di AS diwujudkan melalui sokongan berterusan oleh kerajaan itu selama kira-kira 60 tahun.

"Hal ini dapat dilihat melalui inovasi dalam pengajaran bahasa moden dan kaedah penilaian mengukuhkan program itu. Jadi, kepentingan Program Fullbright 'Foreign Language Teaching Assistant' tidak boleh dipandang remeh," katanya.

Selari itu, katanya, ada juga sokongan pengajaran bahasa Melayu oleh organisasi kampus pelajar Malaysia dan Indonesia serta peranan Kedutaan Besar masing-masing meningkatkan minat terhadap bahasa Melayu di AS.

"Ini semua menunjukkan kerjasama penggerak di pelbagai peringkat dan perkembangan semangat dalam proses pengantarabangsaan Melayu terus maju," katanya.

Tokoh Melayu akan menghuraikan ancaman terhadap bangsanya dalam pertemuan, esok. - Foto hiasan NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Tokoh Melayu akan menghuraikan ancaman terhadap bangsanya dalam pertemuan, esok. - Foto hiasan NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Berita Harian X