Isnin, 23 Mei 2022 | 3:36pm

Skim bantuan pembiayaan rumah pertama

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) menjamin kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh pihak bank.

MEMILIKI rumah idaman pasti menjadi impian semua orang terutama mereka yang sudah berkeluarga.

Namun, prosedur untuk dapatkan pembiayaan perumahan bukanlah sesuatu yang mudah, terutama buat mereka yang tiada pendapatan tetap dan bergaji rendah.

Antara faktor lain pembiayaan perumahan ditolak adalah kerana  pemohon gagal mencapai kriteria atau tidak mempunyai dokumen lengkap serta sejarah kredit yang teruk.

Memahami permasalahan ini, pada tahun 2007 kerajaan menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) bagi menjamin kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh pihak bank.

Skim ini bertujuan membantu pembeli rumah kali pertama termasuk golongan berpendapatan tidak tetap seperti pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan dan peniaga atau usahawan kecil.

Pembiayaan perumahan sehingga RM400,000

Pada 29 Oktober 2021, kerajaan mengumumkan dalam Bajet 2022 jaminan dua billion ringgit untuk Skim Jaminan Kredit Perumahan baharu untuk pembiayaan bagi pembeli rumah kali pertama.

Bagi mereka yang layak, jumlah pembiayaan yang diberikan melalui program ini adalah sehingga RM400,000 (termasuk Amaun Pembiayaan Prinsipal, Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji (MRTA), Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTT), Takaful Pemilik Rumah Jangka Panjang (LTHO), yuran peguam cara dan yuran penilaian)

Terdapat enam bank utama  yang terbabit untuk menyediakan pembiayaan kemudahan perumahan ini termasuklah Agrobank, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, RHB Bank dan banyak lagi. Klik sini untuk senarai penuh bank yang mengambil bahagian.

Selain daripada jumlah pembiayaan yang tinggi, kelayakan bagi program skim jaminan ini juga lebih fleksibel. Berikut ialah sebahagian daripada syarat kelayakan permohonan pembiayaan.

  1. Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

 

  1. Bagi pembelian rumah kediaman baru pertama, rumah sedia ada (sub-sale), atau rumah lelong yang akan diduduki oleh pemilik. 

 

  1. Jumlah bayaran balik semua pembiayaan oleh pemohon tidak melebihi 65% daripada pendapatan kasar bulanan mereka.

 

  1. Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) tunggakan tidak melebihi dua bulan dalam tempoh 12 bulan*.

 

  1. Tiada rekod kredit buruk lain dalam tempoh 24 bulan yang lalu.

 

* Tertakluk kepada terma dan syarat

**Kadar faedah yang dikenakan adalah pada kadar asas pembiayaan/pinjaman oleh institusi kewangan

**Wajib memiliki deposit bersamaan 3 bulan ansuran bulanan yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan pilihan.

Secara jelasnya, Skim Jaminan Kredit Perumahan yang diuruskan SJKP memberi sinar baharu buat golongan bergaji kecil atau rendah serta golongan yang tiada slip gaji, bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap.

Mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi gig, peniaga kecil, peniaga online, pemandu e-hailing dan lain-lain pekerjaan boleh memohon membeli rumah pertama berharga sehingga RM400,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun.

Lebih menarik, skim ini membenarkan pemohon bersama, serta pembiayaan dua generasi, di mana mereka boleh memohon untuk melanjutkan tempoh pembayaran balik.

Untuk maklumat lanjut mengenai program SJKP, sila layari https://www.sjkp.com.my.

Berita Harian X