Isnin, 23 Mei 2022 | 3:34pm
Mohd Anwar membentangkan kertas kerja pada simposium di Wisma DBP. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Anwar membentangkan kertas kerja pada simposium di Wisma DBP. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Penterjemah tempatan terhad

KUALA LUMPUR: Negara ini berdepan cabaran dalam bidang sastera kerana masih banyak bergantung kepada penterjemah tempatan yang menguasai bahasa asing sebagai bahasa kedua.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan, berkata, bagaimanapun kerja penterjemahan yang dilakukan mereka itu mungkin mengandungi 'roh sastera' dalam teks terjemahan.

"Saya mencadangkan pihak berkaitan melantik lebih ramai penterjemah yang menguasai bahasa asing, iaitu bahasa sasaran karya terjemahan sebagai bahasa ibunda mereka.

"Selain itu, banyak terjemahan yang diterbitkan oleh penerbit dalam negara dan mengakibatkan ia menjadi terhad, berikutan hanya berlaku edaran dan jualan domestik sahaja, di samping karya sastera yang diterjemah masih kurang dan belum cukup insklusif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja berhubung perkembangan pengajian bahasa Melayu di AS pada Simposium Pengantarabangsaaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Anwar berkata, isu terbabit boleh diselesaikan dengan karya sastera yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing, harus diterbitkan oleh penerbit asing, iaitu bahasa asing menjadi bahasa sasaran terjemahan teks.

"Selain itu, pihak berkaitan perlu memperbanyak penerbitan karya sastera kebangsaan membabitkan pelbagai genre dalam bahasa asing meliputi karya Sasterawan Negara, penerima Anugerah SEA Write dan penulis muda yang menghasilkan karya berkualiti," katanya.

Beliau berpendapat, bahasa kaedah paling asas bagi perhubungan di antara manusia dan berkembang daripada lisan kepada tulisan yang membentuk wacana ilmu pengetahuan dan kesusasteraan.

"Cadangan seterusnya dalam menyelesaikan isu ketiadaan 'literary agent' antarabangsa yang memilih dan mempromosi sebuah karya atau seseorang pengarang kebangsaan.

"Hal ini dapat diatasi dengan melantik 'literary agent' yang sesuai bagi rantau Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Asia," katanya.

Beliau turut menegaskan, isu sastera moden kurang diketahui masyarakat antarabangsa kerana program antarabangsa sastera kebangsaan tidak kekal dan menyeluruh.

"Jadi untuk mengatasinya, kerajaan disarankan mewujudkan program pengantarabangsaan dengan menganjurkan seminar dwitahunan pengantarabangsaan sastera kebangsaan seperti simposium ini, membabitkan sarjana luar dan dalam negara serta penulis tempatan.

"Selain itu, aktiviti kesusasteraan yang membabitkan pensyarah dan pelajar di pusat pengajian Melayu atau Malaysia di luar negara serta menghidupkan semula acara tahunan 'Kuala Lumpur World Poetry Reading," katanya.

Beliau berkata, pendedahan kepada penulis kreatif, termasuk penulis muda ke dalam program sastera dalam kegiatan sastera kebangsaan dengan membabitkan Kedutaan Malaysia atau Perwakilan di luar negara.

"Kerajaan disarankan mewujudkan laman sesawang 'Sastera Melayu: Klasik dan Moden' yang menyeluruh tentang karya dan pengarang dalam pelbagai bahasa penting dunia.

"Selain itu, pengarang kebangsaan yang sesuai dicadangkan untuk dicalonkan untuk anugerah sastera peringkat rantau dan antarabangsa," katanya.

Hadirin pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Hadirin pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, hari ini. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Berita Harian X