Isnin, 23 Mei 2022 | 1:12pm

Angkat bahasa Melayu dengan satukan penutur bahasa etnik

KUALA LUMPUR: Usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN perlu dilaksanakan secara teliti dengan memastikan ia bukan sahaja diterima semua negara di rantau ini, tetapi menjadi sebuah bahasa yang bersifat merentas sempadan atau bahasa Melayu Supranasional.

Sehubungan itu, perancangan bahasa yang jitu perlu digerakkan untuk menyatukan semua penduduk di rantau Nusantara ini dalam satu keluarga bahasa yang berindukkan bahasa Melayu.

Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, berkata hasil dapatan pelbagai kajian perbandingan bahasa Nusantara yang dilaksanakan oleh sarjana mendapati ada hubungan kekeluargaan di antara pelbagai bahasa dituturkan.

"Perhubungan ini dijelaskan melalui hukum pensejajaran bunyi yang terkenal iaitu Hukum RGH dan RDL. Hukum RGH menjelaskan pensejajaran bunyi dalam sekelompok bahasa di Nusantara iaitu Melayu, Batak, Sunda, Tagalog, Visaya, Dayak, Tombuli, Bali, Jawa dan lain-lain.

"Sebagai contoh, pensejajaran bunyi ini dilihat melalui satu perkataan Melayu iaitu urat. Ia disebut sebagai ugat dalam Tagalog, ogat bagi bahasa Tontembo dan uhat, untuk bahasa Dayak. Bermakna, bunyi r dalam perkataan urat berubah menjadi sebutan g dan h dalam beberapa bahasa di Nusantara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu sebagai Bahasa Supranasional pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP di sini, hari ini.

Abdullah berkata, usaha untuk mengupayakan bahasa Melayu secara lebih berkesan boleh dibuat dengan menggalakkan penutur bahasa sukuan seperti dialek Melayu Betawi, Acheh, Ambon, Jawa, Sunda dan Tagalog meminjam kosa kata bahasa Melayu secara aktif.

Jelasnya, lebih banyak kata daripada bahasa Melayu induk dipinjam, ia akan mempertingkatkan saling persefahaman yang tinggi selari dengan gagasan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

"Bagi merancang bahasa Melayu sebagai Bahasa Melayu Supranasional, lima perkara perlu diberi tumpuan. Pertama, unsur bahasa yang akan dipromosikan, ini termasuk kosa kata, imbuhan dan ayat. Kedua, ranah atau bidang penggunaannya, termasuk pengiklanan, persuratkhabaran, penyiaran, pendidikan dan perhubungan diplomatik.

"Selain itu, kita juga perlu memberi fokus kepada sumber prasarana, agen penyebaran yang boleh menggerakkannya dan aspek pengguna itu sendiri daripada rakyat biasa, wartawan, usahawan, peniaga, pelancong dan novelis," katanya.

Sementara itu, Profesor Kehormat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Deakin, Melbourne, Prof Dr Ismet Fanany ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Meningkatkan Minat Belajar Bahasa Melayu di Australia', berkata kuasa lunak atau 'soft power' perlu diperhebat bagi menyemai semula minat masyarakat asing terhadap bahasa berkenaan.

Jelasnya, kuasa lunak yang berasal dari budaya, lingkungan sosial dan hal lain yang dipandang baik oleh orang luar sehingga dapat mempengaruhi pendapat, pandangan dan sikap mereka perlu diberi tumpuan.

"Sebagai contoh, Malaysia boleh mengundang individu tertentu yang berpengaruh seperti ahli politik muda, wartawan, seniman dan penulis berasal dari ASEAN, Asia Timur dan Australia atau dari mana-mana negara ke negara luar seperti Australia untuk memperlihatkan kehidupan dunia Melayu.

"Melaluinya, pandangan umum mengenai dunia Melayu boleh diubah secara perlahan-lahan kerana hal berkaitan kemajuan, budaya dan kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh diketahui oleh orang asing melalui pengajaran bahasa sahaja," katanya.

Menjelaskan situasi semasa perkembangan bahasa Melayu khususnya di Victoria, Australia, beliau berkata, pengajaran lebih tertumpu kepada bahasa Melayu Indonesia dengan bahasa Melayu (Malaysia) tidak ditawarkan di peringkat sekolah, tetapi hanya dipelajari secara tidak formal sebagai bahasa komuniti.

Katanya, berdasarkan statistik jumlah pelajar bahasa asing di negeri itu pada 2020, tidak sampai 0.1 peratus penuntut yang mempelajari bahasa Melayu, berbanding 13.3 peratus mewakili jumlah pelajar bahasa Indonesia.

"Bahasa Melayu Indonesia diajar di sekolah dan universiti di Australia dengan perkembangannya bermula sejak 50 tahun dahulu, namun kedudukannya juga semakin terancam sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pelajar lebih berminat untuk mempelajari bahasa asing lain terutama Mandarin dan Jepun.

"Ini dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya bergantung kepada pandangan mereka terhadap dunia Melayu dan penilaian mengenai potensi peluang pekerjaan dan pendidikan pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X