Isnin, 23 Mei 2022 | 11:58am
Khairil menyampaikan ucaptama pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di DBP, hari ini. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Khairil menyampaikan ucaptama pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di DBP, hari ini. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Tubuh konsortium, jawatankuasa istilah himpun kosa kata bahasa Melayu - Pakar

KUALA LUMPUR: Seorang pakar menyarankan supaya sebuah konsortium atau jawatankuasa istilah diwujudkan dalam organisasi ASEAN, dengan aktiviti tahunan termasuk menghimpunkan sebanyak mungkin kosa kata bahasa Melayu.

Ketua Pusat Kajian Budaya Melayu dari Indonesia, Prof Datuk Dr Khairil Ansari, berkata selain penubuhan itu, tiga strategi diperlukan dalam kalangan penutur bahasa Melayu di negara ASEAN, terutama untuk mengenal pasti kosa kata dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.

"Hal ini berkaitan penemuan hasil penelitian atau kosa kata dari pelbagai aspek sosial dan kemasyarakatan bagi menambah bilangan kosa kata bahasa Melayu.

"Ia boleh dijadikan asas untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN, walaupun setiap negara anggota mempunyai rumpun bahasa tersendiri," katanya dalam ucaptama pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, bahasa Melayu juga boleh diperkasakan dengan aspek luaran bahasa melalui usaha memperkukuh bidang pendidikan membabitkan akses literasi digital.

"Ini berikutan generasi era digital di seluruh dunia menggunakan maklumat daripada pelbagai sumber sangat luas melalui peranti komputer.

"Seiring dengan itu, literasi digital mampu menggunakan teknologi digital dan alat komunikasi untuk mengakses, mengintegrasikan, menganalisis dan menilai maklumat, serta membangunkan pengetahuan baharu menjadi lebih efektif dalam masyarakat," katanya.

Khairil berkata, strategi ketiga ialah kembali mencapai komitmen bersama atau semangat ASEAN ke seluruh dunia kerana bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca.

"Di samping itu, ASEAN perlu melihat faktor pembentukan gagasan berkenaan dan evolusi perkembangan bahasa Inggeris yang terkenal dengan teknologi, serta bagaimana Korea Selatan menarik minat melalui kemajuan ekonomi, teknologi, seni, filem, budaya dan kulinari," katanya.

Beliau berpendapat, bahasa Melayu juga dapat diangkat menjadi bahasa rasmi ASEAN dengan mengkaji aspek dalam dan luar bahasa itu sendiri.

"Secara intrabahasa, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ASEAN yang dapat dilihat dari aspek kesederhanaan bentuk kata, kosa kata, huruf dan bunyi bahasa.

"Ini berikutan bahasa Melayu menggunakan huruf Latin, mempunyai bunyi dan irama yang merdu, serta memiliki keterbukaan menerima unsur serapan daripada bahasa lain. Namun, bahasa Melayu masih mempunyai keterbatasan kosa kata," katanya.

Beliau menjelaskan, ia berbanding penambahan kosa kata bahasa Inggeris yang mencapai 8,500 perkataan per tahun.

Ketika ini, katanya, Kamus Bahasa Indonesia Edisi Keempat hanya mempunyai 91,000 kosa kata, manakala kamus bahasa Inggeris memiliki 1.2 juta kosa kata.

Berita Harian X