Ahad, 22 Mei 2022 | 7:36pm
Collins ketika membentangkan kertas kerja bertemakan ‘Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Diplomasi’ dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP di sini, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Collins ketika membentangkan kertas kerja bertemakan ‘Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Diplomasi’ dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP di sini, hari ini. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Hantar lebih ramai guru bahasa Melayu ke luar negara

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi fokus untuk menghantar lebih ramai guru bahasa Melayu ke luar negara dan menarik seramai mungkin pelajar luar untuk mempelajari bahasa itu di Malaysia, sekiranya kerajaan serius mahu mengantarabangsakan bahasa kebangsaan.

Pakar linguistik Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr James T Collins berkata, kaedah digunakan Malaysia sebelum ini dengan menghantar buku berbahasa Melayu ke beberapa negara luar, dilihat sudah tidak strategik untuk mengembangkan bahasa itu.

Katanya, kebanyakan buku berbahasa Melayu yang dihantar ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Belanda sudah tidak digunakan, dihantar pulang atau tenggelam dalam koleksi buku lain yang lebih besar.

"Berpuluh ribu buku dihadiahkan ke perpustakaan Ohio University, tapi entah siapa yang pakai kerana universiti ini tidak pernah mengajar Bahasa Melayu.

"Semua buku bahasa Melayu yang dihadiahkan ke perpustakaan di Leiden, Belanda pula sudah diserahkan kembali. Sudah tiada ruang bahasa Melayu dan tiada lagi profil Malaysia di sana.

"Jika kerajaan benar-benar ingin mengantarabangsakan bahasa Melayu, bukan melalui simposium yang besar setiap tahun atau hadiahkan buku yang tenggelam dalam koleksi lebih besar.

"Lebih penting adalah mewujudkan program daripada pelbagai kementerian bagi menarik orang luar negara untuk belajar bahasa Melayu. Harus ada ramai guru bahasa dan fokus pada pendidikan bahasa Melayu (di luar negara)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertemakan 'Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Diplomasi' dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah sebagai moderator itu, turut menampilkan tiga ahli panel lain iaitu bekas Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin; Ketua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Rektor Universiti Fatoni, Prof Madya Dr Ismaillutfi Japakiya.

Berkongsi usaha menyebarkan bahasa Melayu di negara kelahirannya di AS, Collins mendedahkan kerajaan negara itu banyak menyumbang dana untuk membiayai pelajar yang mahu mengikuti pengajian bahasa Melayu.

Ketika membuka program pengajian bahasa Melayu di Northern Illinois University pada 2008, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar AS menyediakan dana untuk pelajar, khususnya bagi menyambung pengajian ke Malaysia selama dua bulan.

"Universiti juga mendapat dana Kementerian Pendidikan AS untuk menghasilkan kamus dalam talian Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu.

"Menariknya, semua dana itu daripada AS. Saya setuju bahawa kerajaan Malaysia yang harus mengeluarkan dana untuk menyediakan biasiswa kepada mahasiswa asing yang mahu belajar bahasa Melayu," katanya.

Ketua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Ketua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Sementara itu, Zainal Abidin menggesa Kementerian Luar mempelajari kesungguhan Indonesia mengembangkan bahasa Indonesia ke luar negara, antaranya dengan menyediakan biasiswa kepada pelajar di Thailand untuk mengikuti pengajian di Indonesia.

Katanya, Malaysia sepatutnya lebih ke depan dalam menyebarluaskan bahasa Melayu khususnya di ASEAN, selain menjadikan negara yang memiliki diaspora Melayu untuk kembali menguasai bahasa itu.

"Di Davao, Filipina ramai yang mahu belajar, namun GAPENA tiada modal besar untuk lakukannya. Kerajaan yang wajib melakukannya.

"Kerajaan perlu menyebarluaskan bahasa Melayu di diaspora Melayu seperti di Sri Lanka, Madagascar dan Afrika Selatan. Semua negara ini perlukan guru bahasa Melayu.

"Kita juga boleh beri biasiswa untuk mereka datang ke universiti di Malaysia seperti Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu serta universiti lain yang memiliki Fakulti Bahasa," katanya.

Sementara itu, Iskandar mencadangkan kerajaan menubuhkan agensi baharu yang khusus untuk merealisasikan matlamat mengantarabangsakan bahasa Melayu, bermula dengan memperkukuh aspek penterjemah dalam aspek diplomasi.

Setakat ini, katanya, DBP masih belum berkemampuan memikul tugas itu sendirian, sekali gus ia wajar dipikul sebuah agensi bertaraf kementerian, khususnya dari segi sumber tenaga manusia dan kewangan.

"Universiti tempatan boleh memainkan peranan sebagai pembekal graduan yang memiliki kelayakan diploma dan ijazah supaya semua kementerian dan agensi mempunyai tenaga pakar atau profesional yang mencukupi," katanya.

Berita Harian X