Ahad, 22 Mei 2022 | 7:26pm
Idris pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa, hari ini. - FOTO BERNAMA
Idris pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa, hari ini. - FOTO BERNAMA

Pencerobohan rejim Zionis di Palestin isu kemanusiaan sejagat

SEPANG: Pencerobohan oleh rejim Zionis di Palestin bukan hanya membabitkan isu agama tetapi juga isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama, bangsa dan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, usaha membebaskan Al-Quds daripada penjajahan Zionis Israel bukan tanggungjawab rakyat Palestin atau bangsa Arab semata-mata, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam.

"Ia menjadi kewajipan setiap kita untuk menyumbang kepada apa jua cara dan usaha membebaskan Al-Quds serta Masjidil Aqsa daripada terus dinodai kesuciannya oleh Yahudi Zionis," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak Ulama Islam Mengenai Perpaduan Sebagai Asas Pembebasan Masjidil Aqsa, di sini, hari ini.

Idris berkata, pendirian Kerajaan Malaysia adalah konsisten untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Palestin, sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun moral.

"Solidariti itu dibuktikan dengan pendirian negara yang terus teguh untuk tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, selain mengutuk siri pencerobohan dilakukan di bumi Palestin," katanya.

Persidangan selama tiga hari bermula Jumaat lalu itu dianjurkan Yayasan MyAQSA bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dengan dihadiri kira-kira 200 ulama dari dalam dan luar negara. – BERNAMA

Berita Harian X